Pasukan Gen-13 MATRI Belasah Gen-12 dengan Jaringan 4-1 di KOPA Arena, USM

By Syed Ahmad Fathi - Sunday, March 20, 2022


Kopa Arena, USM, Pulau Pinang/19 Mac 2022 - Setelah mengumpulkan 3 kekalahan berturut-turut pada musim ini di Kelab Sultan Sulaiman, KSL Setapak, dan UniKL MIMET, Pasukan Gen-13 MATRI telah bangkit dari kekecewaan dengan membelasah Alumni MATRI Batch-12 dengan jaringan 4-1. Kemenangan ini merupakan kemenangan pertama bagi skuad pimpinan kapten Syafiy Zakaria dan kapten Najmi Abdul Rahim untuk musim ini.

Perlawanan kali ini bermula panas apabila seorang ahli Gen-12 MATRI, Fathi Ayyub bin Mohd Zaini telah melakukan serangan psikologi sebelum perlawanan di Facebook Biro Media Gen-13, Amin Roseli. Ayyub dalam komennya telah mengejek pemain-pemain Gen-13 sebagai mempunyai "ukur lilit perut" yang lebih besar dan pasti akan menempa kekalahan. Dengan penuh bongkak dan angkuh, Ayyub telah menulis komen:

"Moga ada sinar untuk Gen-13. Jangan takut Batch-13. Ikot statistik ukur lilit perut player, kita (Gen-12) menang selesa. Mohon (Gen-13 buat) sidang media selepas dikalahkan nanti ya. Peace".

Provokasi Ayyub ini telah menimbulkan kegeraman dalam kalangan pemain pasukan Gen-13 dan membakar semangat mereka untuk bermain dengan gigih. Mas'ul Gen-13 MATRI, Radhi Abdul Rahman mengingatkan agar semua pemain bersabar dan tidak jatuh dalam perangkap provokasi. Manakala Dr. Ihzan Zakaria mengingatkan pasukan agar jangan terbawa-bawa provokasi ini di dalam permainan. Keeper berbakat Gen-13 yang positif Covid-19, Muhammad Izzat bin Mat Suki pula mengatakan serangan psikologi awal ini akan menyebabkan mereka nanti akan termakan psikologi mereka sendiri dan "main tak jadi". 

Perlawanan bermula sengit di KOPA Arena, USM sebaik sahaja sepak mula berlangsung. Di minit-minit awal, gawang gol Gen-13 hampir bocor namun tiang gol telah menyelamatkan keadaan. Barisan pertahanan kemudiannya terus memperkemaskan kubu dengan Najmi Abdul Rahim selaku last man menyusun pertahanan kental dibarisi Radhi Abdul Rahman, Ahmad Abdul Hadi, dan Umair Suhaimi. Manakala di bahagian tengah, permainan disusun oleh kapten Syafiy Zakaria dan Syed Ahmad Fathi yang membuat hantaran-hantaran cantik ke hadapan. Usaha mereka ini berbaloi apabila pada minit ke-38, penyerang Gen-13, Azaruddin Rahim membuka jaringan dengan sepakan placing yang cantik.

Pasukan Gen-12 juga menunjukkan permainan yang menarik dan bertenaga dengan serangan bertali arus. Hasilnya mereka mendapat tendangan percuma pada minit ke-65. Sepakan percuma ini telah disempurnakan oleh penyerang Gen-13, Ahmad Kamil dengan tendangan cantik melepasi kubu pertahanan dan berjaya melemaskan penjaga gol, Afifi Zakaria. Jaringan Ahmad Kamil ini mengikat semula kedudukan satu sama. Sementara itu penyerang Gen-13, Ahmad Bashier Nasharuddin lincah mengejar bola di bahagian hadapan, namun kaki beliau masih tidak dapat menyempurnakan sebarang jaringan dan meneruskan kemarau gol dalam kariernya. Apabila ditanya, Bashier memberi alasan tidak perform beliau kerana penat drive seorang diri dari Kuala Lumpur.

Pasukan Gen-13 kembali mendahului perlawanan apabila pemain yang juga merupakan seorang makmum muda dari Pulau Pinang, Muzakkir Ridzuan mengambil sepakan percuma buat Gen-13 MATRI pada minit ke-78. Sepakan Muzakkir mudah melepasi kubu pertahanan serta menewaskan penjaga gol lawan. Pesta gol Gen-13 kemudian diteruskan oleh looping cantik oleh Ustaz Syafiy Zakaria pada minit ke-98. Sementara itu barisan pertahanan Gen-13, Dr. Afiq Fawwaz berjaya menyekat banyak percubaan serangan dari Ahmad Kamil di sebelah kanan.

Pada kempen kali ini, Gen-13 mempertaruhkan 3 pemain import. Midfielder handalan, Opie bijak mengawal bahagian tengah. Muhammad Raif Abdul Rahman yang diimport dari Ipoh pula berjaya mematahkan banyak serangan lawan, beliau juga telah menggelecek bola dan jatuh seorang diri dipercayai ditackle oleh jin. Manakala pemain pertahanan import, Fikri Arif pantas memotong penyerang-penyerang Gen-12 dan melumpuhkan serangan mereka. Serangan-serangan cantik pihak lawan oleh Wan Abdul Azim, Umayr Azhar, Syamil Bakri, Naqiuddin Salleh dan Izzat Ghazali berjaya dikekang oleh pertahanan Gen-13 MATRI dengan kerjasama erat bersama pemain import handalan.

Pemain Gen-13 dari Lahar Kepar juga menunjukkan prestasi yang cergas, teknik menyauk bola dari pihak lawan oleh Musthoffa Syawwal mendapat pujian ramai. Walaupun diprotes oleh penyerang lawan, pengadil mengatakan ia adalah teknik yang bersih. Manakala Tok Imam Syauqi Murshid pula tidak menjaringkan sebarang gol, seperti biasa beliau hanya kuat bersembang, Syauqi hanya mampu membuat skil passing ke belakang sambil tersengih seorang diri. Skil ini walau bagaimanapun tidak menyumbang apa-apa gol. Dalam masa yang sama, Syauqi juga mengkritik Syed Ahmad Fathi yang dilihat hanya berjogging di tengah padang. Muhammad Hanif Ismail pula nyaris menjaringkan gol, namun first touch beliau tidak menjadi kali ini. Najmi Abdul Rahim juga dua kali telah membuat hantaran karut dengan memberi bola dengan mudah kepada pihak lawan, mujur kesilapan ini tidak membawa kekalahan.

Muhammad Syafwan Che Mustapha pula banyak menyumbang di bahagian kiri, dengan hantaran-hantaran menarik ke hadapan. Hasilnya sebelum wisel penamat, Azaruddin Rahim sekali lagi berjaya menjaringkan gol dengan sebuah rembatan cantik melengkapkan pesta gol buat Gen-13. Tendangan cantik Azaruddin ini mendapat pujian dari penjaga gol lawan, Amar Jalil yang kemudiannya telah memberi hadiah kepada beliau berupa sebuah tin minuman 100 plus. Keputusan kekal 4-1 hingga ke wisel penamat.



Selain barisan pemain, perlawanan kali ini turut disertai oleh beberapa individu penting. Dr. Muhaimin Yahya yang bertugas sebagai doktor paramedik sepanjang perlawanan. Manakala Firdaus Hashim dari Langkawi menjadi sport photographer. Pekebun cili dari Abi, Perlis, Hilmi Azhari pula duduk di grand stand bermain handphone seorang diri.

Selain kemenangan bergaya dari sudut jaringan. Pasukan Gen-13 juga bergaya dari sudut pakaian seragam. Perlawanan kali ini menyaksikan Gen-13 merasmikan dua jersi rasmi mereka. Pada separuh masa pertama dan kedua mereka mengenakan jersi berwarna hijau, manakala separuh masa ketiga mereka menggunakan jersi berwarna hitam. Jersi ini telah ditaja oleh Syoknya Travel, Percetakan Fadhilat, Dendeng Upek dan Syed Ahmad Fathi. Jersi yang cantik ini telah meningkatkan moral pasukan dengan jayanya. Setelah tewas 4-1, Fathi Ayyub bin Mohd Zaini terpaksa menelan semula kata-kata angkuh beliau, beliau menulis: "Alhamdulillah. Semua menang. Tiada pihak yang kalah. Kemenangan milik bersama". Kenyataan beliau ini telah ditertawakan secara berjemaah oleh orang ramai. Selepas perlawanan pasukan Gen-13 telah berpusu-pusu ke Restoran Kayu Nasi Kandar untuk pengisian perut dan juga pengisian rohani.

Pasukan mantap Gen-12 MATRI.

Selain Ayyub, pihak Pasukan Gen-13 MATRI mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pasukan Gen-12 MATRI yang telah menjadi lawan yang professional dan kompetetif buat Gen-13. Gen-13 MATRI penghulurkan semua tangan-tangan yang ada bagi memohon maaf atas segala kesilapan yang dilakukan di atas padang, terutamanya kepada Syafiq Manaf yang cedera kerana merebut bola dari Syauqi Murshid. Moga-moga dua batch hebat ini dapat bertemu lagi dalam perlawanan penuh ukhuwwah di masa hadapan. Sama-samalah kita bersedia untuk menyambut bulan Ramadhan Kareem yang bakal tiba. -BKK

  • Share:

You Might Also Like

0 comments