Aloi Dapat Ikan Duri dan Ikan Sembilang di Sungai Merbok

By Syed Ahmad Fathi - Monday, March 21, 2022


Sungai Petani, Kedah/20 Mac 2022
- Pemancing handalan Gen-13 MATRI, Hilmi Azhari yang lebih dikenali dengan nama komersial beliau sebagai Aloi, berjaya menaikkan Ikan Duri dan Ikan Sembilang di Sungai Petani, Kedah. Sebelum ini tular di media sosial tentang kisah Aloi yang tidak mendapat ikan di Langkawi, Kedah. Untuk rekod, Aloi juga gagal menaikkan ikan dalam kempen casting di Teluk Senangin, Perak. Sayugia itu, beliau telah berazam untuk meningkatkan skil pemancingan beliau.

Aloi ditemani oleh Syed Ahmad Fathi tiba di jeti Persatuan Memancing Daerah Kuala Muda yang terletak di Jalan Zamrud 2, Kampung Telok, Sungai Petani sekitar jam 11.30 pagi. Trip kali ini telah dibawa oleh seorang tekong viral bernama Pak Ad yang turut dikenali sebagai Pak Ad Kudung oleh masyarakat tempatan. Bot kemudian perlahan-lahan meninggalkan jeti dan masuk ke sungai utama iaitu Sungai Merbok.


Keadaan yang agak lewat dengan arus air pasang yang laju menyebabkan umpan umpun-umpun Aloi banyak yang tidak mengena. Teknik casting beliau juga gagal menaikkan ikan. Pak Ad kemudian telah mengemudi bot dan menukar lokasi ke beberapa buoy lain di mana bot dapat ditambat untuk memancing. Sekitar jam 2.30 petang baru air mula tenang.

"Bila air tenang baru ikan dapat berhimpun" kata Pak Ad.

Aloi kemudian dapat menaikkan dua Ikan Duri dan seekor Ikan Sembilang. Hanya Ikan Sembilang dibawa kembali ke jeti manakala ikan duri dilepaskan semula ke dalam sungai. Pada jam 3 petang, bot pulang semula ke jeti. Cuaca panas yakmat menyebabkan pemancing mendapat sunburn dan juga hyper-dehydration. Aloi mula menunjukkan simptom hendak muntah dan kelihatan lemah. Oleh itu, Aloi telah segera dibawa ke Gerai Cendol Pak Nik untuk "diubat" dengan teh ais dan bihun sup. Keadaan beliau kembali stabil selepas itu. - BKK

  • Share:

You Might Also Like

0 comments