Pasukan Gen-13 MATRI Kalah Tipis 6-7 Melawan Gen-15 di Centremart Setapak, KL

By Syed Ahmad Fathi - Sunday, June 19, 2022


Setapak, Kuala Lumpur (18/06/2022) - Pasukan Gen-13 MATRI mengalami kekalahan tipis pada perlawanan persahabatan futsal menentang Gen-15 di Centremart Setapak, KL pada hari Sabtu, 18 Jun 2022. Perlawanan bermula agak lewat kerana Tengku Syakir yang menempah court datang lewat. Ini menyebabkan moral pemain-pemain menurun mendadak.

Oleh kerana perlawanan ini dirancang dengan sedikit tergesa-gesa, ramai nama-nama gergasi pemain Gen-13 MATRI tidak dapat menurunkan diri. Antara player yang berjaya turun adalah Ahmad bin Abdul Hadi, Dr. Abbas Salimi Zaini dan Syed Ahmad Fathi. Baki pemain di isi oleh pemain import seperti Aiman Nasaruddin, Ashraf Manaf, dan Syazwan Yahya. Selain itu pemain-pemain turut di import dari alumni State Marine Technical University St. Petersburg seperti Hafiz Akmal Rijani, Hafiz Razali, Shahir Ashraf, Fakhruddin Rahim, dan Syamil Yusoff.

Pasukan Gen-13 bermula garang dengan menjaringkan gol pertama, namun ia dengan mudah disamakan semula oleh pasukan lawan. Pemain Gen-15, Wan Safwan Wan Zaim dilihat begitu lincah bermain namun banyak gerakan-gerakan beliau berjaya dipintas oleh Ashraf Manaf. Penyokong setia Liverpool, Tengku Syakir bin Tengku Paris pula tidak begitu menyerlah, namun beliau dapat menjaringkan 1 gol hasil tandukan ala-ala Virgil Van Dijk. Pemain import, Aiman Nasaruddin merupakan pemain import yang paling menyerlah, gerakan solo beliau dari tengah padang berjaya membuahkan 2 gol. Prestasi Aiman ini telah dipersoalkan oleh Azam Jafar.

"Power pulak hari ini Aiman, selalunya tak power camni" ujar Azam.

Prestasi Aiman ini kemungkinan besar kerana beliau telah menempah hotel bersama isterinya di Kuala Lumpur untuk bermain futsal. "Staycation, baru dapat lesen besar main futsal" ujar Aiman. 

Walaupun Gen-15 bermain dengan begitu lincah, pasukan Gen-13 tetap berjaya menjaringkan banyak gol walaupun bermain dengan gaya chill-chill. Gawang Gen-15 beribu kali berjaya diselamatkan oleh keeper kental mereka, Anas Hakim yang badannya menutupi hampir 80% ruang gawang gol. Anas yang merupakan bekas keeper hoki sekolah telah terbang kiri dan kanan menyelamatkan gawang gol. Jaringan kekal 7-6 hingga ke akhir perlawanan dengan kemenangan tipis menjadi milik Gen-15.

Pemain import Gen-13 dari Kampung Delek Kanan, Hafiz Razali pula menyalahkan faktor baju yang mengelirukan sebagai faktor kekalahan. Hal ini terjadi kerana sebelum ini Tengku Syakir memaklumkan bahawa pasukannya akan memakai baju berwarna merah. Ketika ditemui selepas perlawanan, seorang wakil Gen-15 yang tidak mahu namanya didedahkan memberitahu wartawan BKK bahawa beliau berterima kasih kepada Gen-13 yang memberikan mereka kemenangan.

"Terima kasih abang-abang yang bagi kami menang malam ini. Saya sebenarnya takut juga kalau kalah, takut-takut Syakir meroyan lagi di Facebook" ujar beliau sambil menutup muka.

Sementara itu wakil Gen-13 telah berkata bahawa permainan malam ini hanya pemanasan badan untuk perlawanan sebenar pada 2 Julai 2022 yang dijadualkan berlangsung di Eco Ardence Setia Alam Football Arena. "Kita main chill-chill sahaja malam ini, supaya tiada sebarang kecederaan. Terima kasih kepada penyokong yang tidak bersorak dengan terlalu kuat, kuat sangat sorakan akan menganggu fokus permainan".

Semoga perlawanan ini berjaya meningkatkan ukhuwwah dikalangan para pemain. - BKK

  • Share:

You Might Also Like

0 comments