Pasukan Gen-13 MATRI Tewas 3-1 Pada KBHI di UniKL-MIMET

By Syed Ahmad Fathi - Monday, February 28, 2022


Manjung/26 Februari 2022 - Pasukan Gen-13 MATRI meneruskan tradisi kekalahan cemerlang pada musim ini dengan kekalahan 3-1 menentang Kelab Belia Haluan Ipoh (KBHI) di padang utama UniKL-MIMET pada 26 Februari 2022. Sebelum ini mereka telah mencatat dua kekalahan iaitu di Kelab Sultan Sulaiman dan KSL Setapak. Perlawanan pada mulanya dijadualkan berlangsung di Padang Astaka Sitiawan, Perak, namun kerana hujan lebat pihak pengurusan Astaka telah secara sukahati mereka membatalkan perlawanan.

Padang Astaka Sitiawan yang banjir ditenggelami air menyebabkan para pemain teruja untuk berenang dengan membawa pelampung, namun hasrat mereka telah dihalang pihak pengurusan Astaka. Seorang doktor perubatan di sebuah klinik kesihatan di Perlis telah memberi komen seperti berikut:

"Apa bendalah cancel saat akhir, teruk punya pengurusan, macam lah tak boleh aspect benda ni, Malaysia ni bukan tak pernah hujan, orang dah bayar deposit, datang jauh-jauh dari Perlis, boleh pula dia cancel venue macam tu aje, gerammmm!".

Padang Astaka Sitiawan yang banjir teruk.
Manakala seorang lagi pemain lain yang kecewa telah menambah "Usop la ni tak buat waterproofing dekat padang, paling tidak pun bawak la vacuum, sedut air bagi padang kering".

Tuan rumah, Tuan Ikhwan Zulkifli juga kelihatan berubah muka kerana takut dikritik oleh para pemain yang telah berkumpul dari serata Malaysia. Beliau pantas menalifon semua pihak pengurusan padang yang ada di seluruh Manjung, dari padang sekolah, padang tadika, padang Bomba, padang kawad, padang tembak, padang awam, semuanya ditalifon, namun hampa. Ternyata tiada siapa yang mahu memberi padang pada saat-saat akhir. Kekalutan dan kerisauan Ikhwan telah menyebabkan separuh rambut di kepalanya gugur.

Melihat keadaan yang huru-hara dan tidak terkawal. Setiausaha program, Syed Ahmad Fathi telah memberikan idea bernas kepada Ikhwan untuk mencuba padang UniKL-MIMET dan mententeramkan para pemain dan mengelakkan keadaan berubah menjadi rusuhan dan demonstrasi jalanan.

"Sekejap saya call Taqiyudin" jawab Ikhwan. Keadaan kembali tenang dan lega apabila pihak UniKL-MIMET membenarkan penggunaan padang mereka. "Tenang is good" kata Anas Mokhtar, salah seorang pemain yang sebelum ini sesat di Manjung dan peminat Kopi Tenang. Di UniKL-MIMET telah berlangsung majlis ringkas penyerahan plaque perlawanan persahabatan oleh wakil KBHI, saudara Muhammad Fadhli Razali kepada wakil Gen-13 MATRI, Ustaz Syafiy Zakaria. Perlawanan kemudian bermula rancak walaupun para pengadil masih lagi bingung bagaimana untuk mengadili perlawanan pada padang yang tidak mempunyai sebarang garisan. 

Muhammad Fadhi menyerahkan plaque penghargaan pada Ustaz Syafiy Zakaria dengan Anas yang menyibuk.

Skuad Gen-13 beraksi mantap pada permulaan perlawanan dengan serangan bertali arus ke dalam kubu KBHI. Situasi padang yang basah dengan bola yang selalu tersangkut pada air seolah memberi mereka kelebihan. Namun gawang Gen-13 akhirnya bocor apabila pertukaran pemain dilakukan. Faiz Syukri telah keluar dan digantikan dengan Muhammad Radhi pada posisi bet kanan. Radhi melakukan kesilapan mudah dan memberi laluan kepada pemain lawan, Ilham Mahadzir merembat bola melepasi penjara gol Gen-13 MATRI, Afifi Zakaria. Hal ini telah meyakinkan pasukan Gen-13 bahawa Radhi telah dibeli oleh pihak lawan untuk menjual perlawanan dalam siri pertemuan rahsia beliau bersama KBHI sebelum ini. 

Tidak mengalah, pasukan Gen-13 terus mengasak. Menggunakan teknik menyawit dan larian cekang, striker Gen-13 MATRI, Izzat Ibrahim berjaya melepasi pertahanan KBHI dan mengikat kembali kedudukan satu sama. Namun keputusan ini tidak bertahan lama apabila penyerang KBHI, Hazim Amran berjaya melakukan tendangan sudut cantik membawa KBHI kembali ke depan dengan 2-1. Bola ini telah ditampan masuk ke dalam gol sendiri oleh penjaga gol Gen-13 MATRI, Izzat Mat Suki. Beliau tidak berjaya mengekalkan prestasi clean sheet dan nampaknya perlu berlatih dengan lebih gigih lagi di USM Penang. 

Kesebelasan utama pasukan Gen-13 MATRI yang menjadi taruhan kali ini.

Gen-13 MATRI kemudian mendapat peluang untuk menyamakan kedudukan apabila mendapat sepakan penalti disebabkan keganasan yang dilakukan oleh pertahanan KBHI. Pada mulanya, Radhi ingin mengambil penalti namun dihalang oleh kebanyakan pemain lain yang gusar beliau akan menjual perlawanan sekali lagi. Sepakan telah diambil oleh Ahmad Bashier Nasharudin. Sepakan Bashier yang lembik, ketengah dan noob dengan mudah diselamatkan oleh keeper cemerlang KBHI, Huzaifah Ibrahim. KBHI kemudian mendapat peluang untuk mengukuhkan jaringan apabila Ahmad Faiz Syukri telah menampan bola dalam kotak penalti yang tidak berkotak. Faiz terlupa bahawa dia bukan penjaga gol. Peluang ini telah disempurnakan oleh ayam tambatan KBHI yang aktif berjogging di Strava, Muhammad Raif dan sekali lagi tidak dapat diselamatkan oleh Izzat Mat Suki menjadikan keputusan 3-1.

Gawang Gen-13 kemudian ditutup rapat berkat usaha gigih Ustaz Anas Mokhtar (UAM) yang berjaya mempamerkan persembahan cemerlang. Walaupun mempunyai saiz badan mirip Hilmi Razak, Anas berjaya memotong banyak serangan KBHI dan melumpuhkan serangan mereka. Pemain Gen-13 MATRI, Syauqi Murshid yang sebelum ini terkenal dengan asyik offside turut dilihat menunjukkan sedikit peningkatan walaupun strategi "false 9" beliau tidak berjaya. Beliau berjaya mengelak dari offside dengan menyorok menjadi pemain pertahanan walaupun sebenarnya dia striker. Hanif Ismail, player yang berasal dari Jalan Teluk Wan Jah, Alor Star juga mempamerkan persembahan yang mengkagumkan, beliau berjaya melorong bola kepada Syed Ahmad Fathi. Fathi yang bermain ala-ala Takumi Minamino telah berlari mengejar bola laju Hanif sehingga beliau akhirnya cedera hamstring

Syed Ahmad Fathi yang cedera hamstring dirawat oleh Dr. Ihsan Zakaria dan dibantu oleh paramedik, Hilmi Azhari.

"Sia-sia aje jogging banyak-banyak Fathi ni" kata pengulas sukan, Rijaluddin bin Abdul Manaf melihat Fathi yang cedera. Manakala Syauqi Murshid yang telah lama memendam perasaan berkata "aku dah lama dah meluat tengok dia dok update jogging dekat Facebook, ini semua poyo". Tidak berputus asa, Fathi ketika ditemui media berkata beliau akan terus bangkit dan beraksi dengan lebih baik di masa hadapan, bak kata Eren Yeager "tatakae!" ujar beliau.

Antara pemain-pemain lain yang dilihat beraksi dengan begitu bertenaga adalah Dr. Ihsan Zakaria, Dr. Afiq Fawwaz, Kapten Ikhwan Zulkifli, Amin Roseli, Musthofa Syawwal, Najmi Abdul Rahim, dan Umair Suhaimi. Pemain utama Gen-13 MATRI yang diimport dari Johor Baharu, Hilmi Razak pula dilihat tidak berapa menyerlah dan hanya menyentuh bola sekali sahaja dengan jersi yang diikat di lengan. "Menghabiskan beras aje" komen Hilmi Aloi melihat prestasi Hilmi Razak yang persis prestasi casting siakap beliau sendiri. Manakala Saiful Islam Izraei kecewa kerana disuruh tukar ketika beliau masih panas dan bersemangat di atas padang. Keputusan kekal 3-1 hingga ke akhir perlawanan.

Keseluruhan pasukan Gen-13 MATRI.

Ditemuramah selepas perlawanan, ketika diminta untuk mengulas strategi yang tidak berjaya, pengurus bahagian taktikal Gen-13 MATRI, Syauqi Murshid telah berkata kepada wartawan "Aku dah habaq kat depa lemak badan ni jangan simpan lama-lama, kalau lemak simpan lama-lama dia jadi daging". - BKK

  • Share:

You Might Also Like

0 comments