Pasukan Gen-13 Tewas 4-1 di Kelab Sultan Sulaiman

By Syed Ahmad Fathi - Sunday, January 16, 2022

Perlawanan Persahabatan Gen-13 MATRI Vs Gen-10 di Kelab Sultan Sulaiman.

Rhino Arena, Kelab Sultan Ismail, Kampung Baru, Kuala Lumpur, 15 Januari 2022 - Pasukan Generasi-13 Lepasan MATRI telah mengalami kekalahan teruk pada perlawanan persahabatan menentang Generasi-10 semalam. Perlawanan pada mulanya sengit dengan kedua-dua pasukan saling membuat serangan, penyerang Gen-10, Adiy Johare berjaya membuka jaringan hasil sepakan bola lambung yang berjaya menembusi gawang gol Gen-13 pada separuh masa pertama. Pertahanan tengah Gen-13, Faheem Islahi (Apoy) telah tergelincir ala-ala Steven Gerard manakala keeper Gen-13, Afifi Zakaria telah tersalah langkah kerana berada sedikit di hadapan, lambungan Adiy berjaya melemaskan Afifi.

Namun skuad pimpinan kapten Najmi Abdul Rahim berjaya bangkit pada separuh masa kedua apabila penyerang Gen-13, Ahmad Bashier Nasharudin berjaya mengikat semula jaringan pada separuh masa kedua menjadikan keputusan seri 1-1. Bashier berjaya melepasi pertahanan lawan kerana pemain pertahanan utama mereka Nasih Ulwan telah keluar, peluang ini telah digunakan sebaiknya oleh Bashier untuk meledakkan gol pertama buat Gen-13.

Barisan Pemain Gen-13 MATRI.

Pemain tengah Gen-13 yang tidak berapa fit, Radhi Abdul Rahman yang beberapa kali telah digentel oleh Adiy Johare kelihatan struggle untuk cuba mendapatkan bola. Kerana sudah lama tidak dapat bola, beliau telah membentes kaki Adiy dan dilayangkan kad kuning. Barisan serangan Gen-13 ternyata tidak berjaya menembusi gawang pihak lawan. Walaupun pelbagai hantaran cantik ala-ala Xabi Alonso telah dilakukan oleh Syed Ahmad Fathi, penyerang dari Pulau Pinang, Syauqi Murshid (Chot) sering kali offside kerana tidak pandai menjaga line. Manakala Izzat Mat Suki juga tidak berjaya menyempurnakan jaringan walaupun mempunyai peluang 1-to-1 bersama keeper lawan. Penyerang-penyerang lain seperti Muzakkir Ridzuan dan Musthoffa Syawal turut tidak menyerlah dengan shooting-shooting yang semuanya ke laut.

Antara pemain Gen-13 yang mencuri tumpuan adalah Paklong Umair bin Suhaimi yang diimport dari Ipoh, Perak. Bermain di bahagian kanan pertahanan, Paklong berjaya memintas semua serangan yang datang menggunakan teknik larian jantung kuda. Walaupun selepas perlawanan beliau terpaksa spray kakinya yang kejang, beliau berjaya memenangi anugerah Man of The Match untuk perlawanan kali ini. Hadiah bagi anugerah ini akan disampaikan semasa reunion di Teluk Senangin pada bulan Februari.

Umair Suhaimi -  man of the match (MOTM).

Selain itu, player dari pasukan PTD Putrajaya, Hanif Hilmi juga dilihat sangat fit walaupun kerap terlepas bola kerana sering berpusing-pusing sorang-sorang. Manakala Amin Roseli, Syaza Safwan (Yot) dan Abbas Salimi juga dilihat cergas berhempas pulas di bahagian tepi padang menyumbang kepada bahagian pertahanan dan serangan. Sementara itu, player bernama Ahmad bin Abdul Hadi (Ahmad Saje) dilihat cergas berlari bersama porch beg yang dibawanya, Ahmad dilihat seringkali cuba berlawan lari dengan penyerang pasukan lawan namun tidak berjaya.

Separuh masa ketiga menyaksikan perlawanan bertukar tragedi buat Gen-13. Penukaran keeper utama dari Afifi Zakaria kepada Izzat Mat Suki Boot Lotto Merah dikatakan sebagai penyumbang utama kepada tragedi ini. Adiy Johare sekali lagi berjaya menjaringkan gol kedua hasil rembatan dari kanan padang. Last man kental Gen-13 merangkap kapten pasukan, Najmi Abdul Rahim yang mula bengang dengan prestasi pasukan telah membentes striker lawan, Safwan Nasir (abang kepada Azri Oit) di depan pintu gol. Najmi telah dilayangkan kad kuning dan pasukan lawan mendapat free kick.

Free kick ini telah disempurnakan oleh Zubair Hazni, penyokong tegar Manchester United. Latihan jogging Zubair melalui applikasi strava dilihat membuahkan hasil. Rembatan Zubair telah terkena palang atas sebelum melantun semula masuk ke gawang Gen-13. Izzat Mat Suki hanya mampu berlakon seperti mahu diving untuk menepis namun tidak berjaya menyelamatkan gawang. Gol terakhir Gen-10 telah dijaringkan oleh Remy Ariffin yang berjaya menggelecek barisan pertahanan sebelum merembat bola ke arah penjaga gol. Bola yang melantun telah disepak sekali lagi masuk ke gawang gol menjadikan keputusan 4-1. Keputusan ini kekal hingga ke akhir perlawanan.

Keputusan Akhir 4-1.

Antara penyokong-penyokong Gen-13 yang hadir adalah Syahmi Rosle, Hamizan Hamid (bersama dua orang anak), Azri Nasir, dan juga Hanan Halim. Rata-rata player kecewa dengan Syahmi yang datang ke padang dengan tangan kosong dan tidak membawa aiskrim Mokti's dari kedainya. Hanan juga telah mengecewakan manager pasukan, Afifi Zakaria apabila beliau enggan bermain dan hanya mahu melihat sahaja. Seorang lagi alumni bernama Saiful Islam Izrai pula hanya datang semasa sesi makan-makan setelah perlawanan selesai.

Ditemuramah selepas perlawanan, kapten pasukan, Najmi Abdul Rahim kedengaran optimis dengan perlawanan semalam walaupun tewas. Beliau berkata:

"Takpa ini baru perlawanan pertama, kita akan anjurkan dan sertai beberapa perlawanan lagi. Fathi, hang pegang bola banyak sangat hang kena main tengah, jangan dok bukak jauh sangat susah nak passing. Kita kena tumpukan pada bahagian tengah. Takpa. Perlawanan hari ini merupakan pendedahan yang baik buat pasukan. Kita berjaya melihat prestasi masing-masing dan membuat analisis bagaimana kita akan buat improvement di masa hadapan". 

Sementara itu manager pasukan, Afifi Zakaria pula telah meninggalkan komen berikut:

"Saya berpuas hati sebab jersey yang saya sewa semuanya cukup dan dah dipulangkan. Saya dah kira balik, cukup semua 20 helai".

Ketua Batch-13 pula, Saudara Radhi bin Abdul Rahman kini sedang giat membuat perancangan rahsia untuk mengadakan perlawanan bola pada reunion Batch-13 MATRI di Teluk Senangin pada bulan Februari menentang pasukan KBHI. Ketika diminta mengulas, beliau tidak mahu mendedahkan apa-apa detail dan berharap pihak media bersabar menunggu pengumuman seterusnya dan tidak membuat sebarang spekulasi.

  • Share:

You Might Also Like

0 comments