Minit Mesyuarat Reunion Bil. 05: Memuktamadkan Kos dan Tentatif

By Syed Ahmad Fathi - Sunday, January 23, 2022


Pada 22 Januari 2022 bertempat di Google Meet, telah diadakan mesyuarat kali ke-5 bagi membincangkan hal-hal berkaitan reunion di Teluk Senangin, Perak yang akan diadakan pada 25 hingga 27 Februari 2022. Walau bagaimana pun, bendahari tidak dapat hadir kerana menjaga ayahnya yang tidak sihat, manakala pengarah telah memonteng dengan memberi alasan beliau mempunyai mesyuarat lain yang lebih penting. Mesyuarat ini dipanggil oleh AJK Penempatan & Makanan, Kapten Ikhwan Zulkifli bagi menentukan kos akhir sebelum kutipan dibuat dari para peserta. Mesyuarat telah mula dengan cergas kerana Ikhwan berjaya hadir awal pada mesyuarat kali ini.

Ikhwan telah memberitahu mesyuarat akan kos keseluruhan yang telah dikiranya, walau bagaimana pun beliau masih lagi pening dan tidak dapat menentukan kos akhir, sekejap kosnya RM11,000 sekejap RM17,000, namun setelah beberapa kali mengira, beliau menyatakan kos keseluruhan dari pihaknya adalah sebanyak RM11,440. Inti kepada masalah yang hendak dibincangkan adalah kos akhir yang akan diminta dari peserta dari segi yuran. Ini kerana ada tabung yang digerakkan bagi menampung yuran peserta. Ikhwan juga memasukkan kos sewa padang bola ke dalam pengiraannya.

Setiausaha, Syed Ahmad Fathi telah memberi pandangan bahawa kos yuran sudah boleh dikutip berdasarkan kos yang telah termaktub di dalam borang pendaftaran. Tidak perlu menunggu duit tajaan kerana sehingga hari ini tabung tajaan masih bernilai RM "kosong". Manakala kos sewa padang tidak perlu dimasukkan kerana hal ini hanya melibatkan alumni yang bermain bola sahaja, sementara yang tidak bermain tidak perlu membayar. Kos sewa padang ini perlu dibahagi dari pemain semasa hari kejadian manakala deposit boleh di dapatkan dari bendahari melalui baki wang terkumpul. Pandangan setiausaha ini telah diterima oleh majlis.

Ahli majlis dari Langkawi, Firdaus Hashim telah membangkitkan soal sahabat yang memerlukan bantuan kewangan. Setiusaha mengatakan tiada yang memerlukan bantuan menurut borang. Hal ini telah dipangkah oleh AJK Baju, Amin Roseli yang menyatakan setiausaha tidak teliti melihat data, ada sebahagian peserta yang memerlukan bantuan. Setiausaha telah mengaku tidak teliti melihat data dan memberi jaminan bahawa mereka yang memerlukan bantuan akan ditaja menggunakan tabung tajaan. Hal ini akan dibawa dalam perbincangan bersama pengarah yang tidak berapa function.

Sementara itu, Syaza Safwan yang merupakan bestfriend Rijaluddin Abdul Manaf telah bertanya sekiranya dia hendak membawa adik bagaimana ini akan dikira? Setiausaha memaklumkan bahawa ahli keluarga lain boleh menginap bersama dengan peserta, cuma hal ini perlu diberitahu kepada AJK Makanan iaitu Tuan Ikhwan Zulkifli bagi memastikan makanan mencukupi. Ahmad Bashier bin Nasharuddin, rakan streka belalang Hilmi Azhari pula telah bertanya perihal kedai runcit berdekatan. Menurut penduduk setempat, Dr. Afiq Fawwaz Ahmad Saleh yang juga merupakan bestfriend Rijaluddin Abdul Manaf, kawasan tersebut terpencil, tiada restoran atau kedai runcit berdekatan, oleh itu elok sahabat membawa bekalan seperti roti dan makanan anak-anak sebagai persediaan. Menurut Ikhwan, pekan terdekat adalah Manjung dengan jarak sekitar 30 minit.

Item kedua mesyuarat adalah perbincangan tentatif. Situasi telah berubah panas dengan pergaduhan seperti dalam drama TV3 jam 7.30 pm apabila Ikhwan mempertikaikan namanya yang diletakkan sebagai PIC bagi sesi icebreaking. Pertikaian Ikhwan ini telah menaikkan darah setiausaha yang mula berhujah dengan nada emosional. Menurut beliau, beliau telah menolak cadangan icebreaking ini pada Mesyuarat Bil. 02, namun Ikhwan sendiri yang bertegas mahu melakukannya dan menguruskannya. Ikhwan tidak mengalah dan berkata:

"Itu hanya cadangan, bukan aku nak jadi PIC!"

Setiausaha yang kemudiannya telah bertenang sedikit memaklumkan bahawa beliau terbuka akan hal ini, jika tidak mahu dilakukan ia boleh digugurkan. Namun akhirnya Ikhwan menerima tanggungjawab tersebut dan meminta ia tidak digugurkan dari tentatif, walaupun dari nadanya, dia masih geram dengan setiausaha.

Berkait hal tentatif juga, isu hangat seterusnya adalah bila hendak dibuat BBQ, kerana tentatif asal telah diganggu oleh perlawanan bola sepak anjuran pengarah yang tidak function. Setiausaha mencadangkan ia ditukar ke petang Jumaat namun ditolak oleh majoriti ahli mesyuarat kerana ramai sahabat yang belum hadir. Cadangannya untuk ditukar ke pagi Ahad juga mendapat tentangan hebat dari ahli mesyuarat.

"Hek eleh, mana ada orang makan BBQ pagi-pagi" kata Syaza Safwan kepada setiausaha dengan penuh sinis.

"Entah, apa benda nak buat BBQ pagi-pagi, ingat ini Rusia ke" kata Radhi Abdul Rahman, pengarah ponteng yang muncul tiba-tiba menambah garam ke luka setiausaha.

Walaupun dikritik hebat depan belakang, kiri, dan kanan. Setiausaha menerangkan rasional dari cadangannya. Pertama adalah jarak jauh dari Teluk Senangin dan Manjung, jika main bola dan balik lewat, BBQ akan bermula sangat lewat, kecuali jika ada sahabat yang tidak ke padang dan sudi berkhidmat memulakan BBQ pada sebelah petang. Kedua, proses menyalakan arang bukan benda sekejap, ia makan masa, oleh itu perlawanan bola ini akan menyebabkan ia sangat-sangat lewat. Point beliau yang terakhir adalah kebanyakan pemain pasukan bola sepak tidak fit seperti Radhi, Chot, Izzat Mat Suki, Afifi, mereka main pun dah separuh mati, semuanya nanti tidak larat mahu membakar BBQ. 

Semua ahli mesyuarat yang pada mulanya mengkritik sinis pandangan setiausaha akhirnya terdiam mendengar kebijaksanaan logik hujah beliau. Mesyuarat kemudian bersetuju untuk menukar BBQ ke pagi Ahad. Tentatif Reunion yang telah di-update boleh dirujuk melalui pautan ini. Setiausaha akan follow-up dengan setiap PIC bagi memastikan semua aktiviti dapat dijalankan dengan lancar. Beberapa perkara telah dibangkitkan oleh Amin Roseli untuk diambil tindakan:

1. Reminder kepada sahabat-sahabat untuk membawa hadiah bagi acara tukar-tukar hadiah.

2. Siapa PIC yang akan menguruskan hadiah sukaneka?

Item terakhir adalah perbincangan berkenaan dengan hala tuju pasukan bola sepak Gen-13 MATRI. Amin Roseli telah menyatakan bahawa beliau akan menyiapkan 3 logo pasukan dan akan mengedarkan borang undian, logo Abbas Salimi juga akan diambil kira manakala cadangan maskot belalang Gen-13 ditolak. Hal ini menyebabkan Hilmi Azhari sedih, mendengar logo belalang tidak diterima, beliau bertindak bermain DOTA dalam mesyuarat tanpa menghiraukan sebarang perbincangan. Setiausaha telah meminta update dari kapten, Najmi Abdul Rahim akan hal jersey bola, namun tidak mendapat respon. Setelah melakukan beberapa provokasi, akhirnya Najmi menjawab:

"Apa hoi-hoi!"

Beliau memaklumkan design jersey ditukar dari design asal kepada design CPU, hal ini kerana design asal tidak mendapat restu dari manager pasukan Afifi Zakaria yang mahukan design CPU yang mempunyai saiz lebih besar dan sesuai untuk semua. Najmi juga memberi jaminan jersey pasukan boleh siap sebelum reunion. 

"Aku rasa CPU tak banyak sangat design, tapi macam Afifi kata, saiz dia senang nak pilih sebab kita pernah pakai CPU masa game lawan Gen-10. Pasal bila siap, alah benda ni kejap je, paling lama 2 minggu siap la, jersey ni bukan macam sublimation, hang rilek je, hehe haha hihi huhu."

Setiausaha memaklumkan tiada mesyuarat berjadual akan di lakukan pada masa akan datang. Namun sekiranya ada sebarang isu berbangkit ahli mesyuarat bolehlah memaklumkan pada setiausaha bagi memanggil mesyuarat. Sebarang keraguan kecil yang tidak memerlukan mesyuarat sentiasa boleh disalurkan melalui kumpulan perbincangan Whatsapp. Majlis ditutup dengan membaca tasbih kifarah dan Surah Al-Baqarah.

  • Share:

You Might Also Like

0 comments