Minit Mesyuarat Bil. 02 Reunion Batch-13 MATRI 2022

By Syed Ahmad Fathi - Saturday, November 27, 2021

 


Pada hari Jumaat bersamaan 26 November 2021 pada jam 9.00 malam telah berlangsung mesyuarat kedua bagi membincangkan penganjuran Program Reunion bagi Batch-13 MATRI. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh pengarah program, En. Muhammad Radhi bin Abdul Rahman. Menurut agenda, selepas kata aluan pengarah adalah bacaan Yasin bagi tiga sahabat MATRI yang telah kembali ke rahmatullah iaitu Abu Asri Zailani, Umar Muhajir Ghazali, dan Muaz Mat Isa. Bacaan Yasin ini sepatutnya dipimpin oleh Ustaz Anas Mokhtar (UAM), namun beliau tidak hadir dan memberi alasan bahawa beliau mempunyai kuliah lain. Muhammad Iqbal Harun, antara ahli mesyuarat awal yang hadir paling awal memberikan komen "Apa punya tur, kalau tak boleh datang, bagi tahu la awal-awal supaya kita boleh cari pengganti". Komen beliau kedengaran kecewa dengan UAM yang tidak mengutamakan sahabat-sahabat.

Bacaan Yasin disudahi dengan doa kemudian telah diambil alih oleh Ustaz Muhammad Radhi bin Abdul Rahman (UMRAR). Semoga Allah merahmati 3 orang sahabat kami yang telah pergi. Agenda mesyuarat yang kedua iaitu tazkirah ringkas oleh SS Bakal Mufti Ustaz Khalilullah Amin Ahmad bertajuk "Perbezaan Bid'ah Hasanah dan Dholalah Mengikut Aliran Fikir Ahli Sunnah wal Jamaah" turut terpaksa ditangguhkan. Bagi menjustifikasikan penangguhan ini beliau telah mengeluarkan dalil yang berbunyi "Ana minta maaf terpaksa join lambat sikit. Ibu bapa mai rumah. Birr al-walidain dulu".

Ustaz Iqbal Harun yang berkahwin dengan seorang hafizah penghafal 30 juzu' kelihatan tidak berpuas hati dengan dalil yang diberikan, namun beliau tidak berani membantah kerana takut dicop wahabi.

Item-item mesyuarat yang dibincangkan adalah seperti berikut.

Keputusan Undian Untuk Menentukan Tarikh

Item ini telah dibentangkan oleh Prof. Abbas Salimi bin Zaini, pakar artificial intelligence dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Seramai 23 responden telah menjawab kaji selidik yang diberikan. 15 responden memilih tarikh 18,19,20 Februari 2022, 16 responden telah memilih tarikh 25,26,27 Februari 2022 manakala 2 responden memaklumkan bahawa mereka tidak dapat hadir.

Hasil kaji selidik ini, mesyuarat telah sebulat suara memutuskan tarikh Reunion Batch-13 MATRI bagi tahun 2022 jatuh pada tarikh 25, 26, 27 Februari 2022 iaitu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Para ahli diminta untuk mengosongkan tarikh ini bagi menghadiri reunion pada tahun 2022.

Isu-Isu Penempatan dan Makanan

Saudara Izzat bin Mat Suki, seorang pakar automotif dari Mazda telah membangkitkan masalah gangguan elektrik di Teluk Senangin. Menurut beliau, melalui pengalamannya, beliau pernah bercuti di sana dan hotel beliau mengalami gangguan elektrik dari jam 3 pagi hingga 5.30 pagi (selama 2 jam setengah). Masalah ini mungkin akan menyebabkan kesukaran kepada ahli yang mempunyai anak kecil. Ahli mesyuarat telah membincangkan solusi bagi masalah ini, antaranya mengarahkan Din Tony untuk menyediakan lori generator TNB on standby atau mengerahkan truck generator dari tentera Malaysia.

Isu yang dibangkitkan Izzat ini pada mulanya tidak dijawab kerana ahli yang bertanggungjawab iaitu Muhammad Ikhwan bin Zulkifli tidak hadir dalam mesyuarat. Namun kemudian beliau masuk pada jam yang agak lewat. Ahli mesyuarat terutamanya Dr. Ihsan Zakaria telah mengkritik keras Ikhwan yang tidak berdisiplin dan memalukan pasukan beruniform Malaysia dengan kelewatannya.

Bagi menjawab isu yang dimainkan oleh Izzat Mat Suki, Ikhwan telah menggunakan teknik thai-chi dengan mengatakan bahawa bekalan elektrik merupakan perkara di luar kawalan, dan menurut beliau kawasan ini tidak mempunyai masalah gangguan bekalan elektrik. Izzat yang kecewa dengan jawapan ini kelihatan pasrah. Ikhwan kemudian menerangkan kos-kos bilik, kos sewa dewan, dan juga kos BBQ. Namun begitu, apabila pelbagai soalan diajukan oleh setiausaha, Syed Ahmad Fathi, Ikhwan kelihatan gelabah dan tidak dapat menjawab dengan baik. Beliau memberi alasan bahawa mesyuarat diadakan secara short-notice walaupun sebenarnya telah dimaklumkan seminggu awal. Kos makanan RM50 per pax dan RM25 per child juga dilihat sangat tinggi. Oleh itu mesyuarat telah membuat ketetapan bahawa Ikhwan Zulkifli akan menyediakan item-item berikut bagi mesyuarat Bil. 03:

1. Quote bagi makanan dan BBQ dari vendor catering luar
2. Jumlah bilik yang ada beserta kapasiti
3. Fasiliti dewan termasuk sistem video dan audio


Baju Program Reunion Batch-13 MATRI

Jika perbentangan Ikhwan sangat tidak bersedia, gelabah, dan tidak menepati masa. Perbentangan baju program oleh Chemical Engineer Amin bin Roseli mendapat pujian berbunga-bunga oleh pengarah program, Muhammad Radhi. Pembentangan Amin sangat jelas, lengkap dengan slides perbentangan, juga dapat menjawab isu-isu yang dibangkitkan.

Isu pertama yang dibincangkan adalah jenis baju yang mahu dipilih. Sama ada micro-fibre atau cotton. Hilmi Razak dan Muhammad Radhi risau baju micro-fibre tidak dapat menyerap peluh mereka apabila ketiak mereka basah. Amin pula mempertahankan micro-fibre kerana ia lebih murah dan mudah untuk customize (juga lebih bergaya). Dr. Ihsan Zakaria buat-buat tanya adakah dengan memberi banyak pilihan (lengan panjang dan berkolar) harga akan bertambah? Amin menjawab "ya". Kerana perbincangan berlarutan tanpa kata putus, tiba-tiba mesyuarat dikejutkan dengan suara nyaring Dr. Ihsan Zakaria "kita pilih micro-fibre sajalah!!". Lagak dan kata-kata beliau kedengaran persis suara doktor specialist yang sedang menengking budak-budak HO. Seperti terkena tamparan dari seorang diktator, mesyuarat bersetuju bahawa jenis baju yang dipilih adalah micro-fiber.

Dari sudut warna, Izzat bin Mat Suki mencadangkan warna biru Chelsea dipilih manakala Dr. Ihsan Zakaria menyatakan warna perlulah gelap untuk maslahat umum. Dari segi design, Saudara Firdaus bin Hashim Langkawi dan Muhammad Hamizan bin Abdul Hamid mengkritik design Amin Roseli yang mempunyai URL laman blog, bagi mereka ia sangat panjang. Sementara itu, Dr. Afiq Fawwaz Salleh yang baru sudah on-call menyatakan tidak perlunya diletakkan tarikh pada baju kerana keadaan PKP masih tidak menentu, ada kemungkinan nanti program tertangguh, dicadangkan hanya bubuh tahun.

Program dan Tentatif Reunion

Perbincangan tentatif kasar reunion telah dijalankan oleh setiausaha, Syed Ahmad Fathi. Perbincangan ini sangat baik, begitu memberangsangkan, dan mendapat respon yang sangat baik. Tahniah setiausaha! Perancangan kasar tentatif adalah seperti berikut:

Hari Pertama, 25 Februari 2022 (Jumaat)

12.00 - 07.00 pm - Ketibaan dan pendaftaran
07.30 pm - Kuliah Maghrib
08.30 pm - Ice-breaking (kelolaan Ikhwan Zulkifli)

Hari Kedua, 26 Februari 2022 (Sabtu)

06.30 am - Kuliah Subuh
08.00 am - Sukaneka (Family Day)
Aktiviti anak-anak akan dirangka oleh Cikgu Affan Nashiron dan Hamizan Hamid. Program dicadangkan:
- Rebut gula-gula dalam pasir
- Lumba lari sambil dukung anak
Aktiviti bapak-bapak:
- Bola Pantai (dicadangkan Firdaus Hashim)
- Main teka anak-beranak (dicadangkan Dr. Ihsan Zakaria)
- Explorace (dicadangkan Ikhwan Zulkifli)
05.30 pm - BBQ
08.00 pm - Kuliah Maghrib
09.00 pm - Majlis Malam Ukhuwwah
- Ucapan Pengarah
- Persembahan
- Bacaan Puisi
- Tayangan Video
- Majlis Penyampaian Hadiah Sukaneka
- Acara tukar-tukar hadiah

Hari Ketiga, 27 Februari 2022 (Ahad)

08.00 - Sesi bergambar
(Aktiviti penuh hari ketiga masih belum dirangka)

Bersurai.

Yuran

Yuran masih belum diputuskan dan akan dibawa ke mesyuarat Bil. 03. Che Wan akan membuka tabung tajaan untuk memudahkan proses pembuatan baju dalam masa yang terdekat.


Lain-lain Isu dan Perkara

Mesyuarat kali ini berubah gamat apabila Muhammad Syafwan (Che Wan Bujang) bin Che Mustapha telah mengumumkan tarikh pernikahan beliau dengan seorang gadis dari Kampung Gaal, Pasir Puteh, Kelantan pada 12 Disember 2021. Beliau telah diasak oleh ahli-ahli mesyuarat untuk mendedahkan nama pengantin perempuan, tetapi beliau akhirnya berjaya mengelak.

Che Wan bersama bakal pengantin perempuan (mungkin?), gambar terpaksa di blur kan bagi melindungi identiti.

Muhammad Hamizan bin Abdul Hamid juga telah memaklumkan mesyuarat bahawa beliau bakal menghadapi viva-voce bagi program Master beliau pada bulan Januari 2022. Mesyuarat mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.

Hilmi Azhari (Aloi), AJK Hiburan yang merupakan AJK yang paling tidak berfungsi setakat ini telah memaklumkan kepada setiausaha agar namanya disebut dalam laporan. Oleh itu perenggan ini ditulis untuk menyebut namanya walaupun setakat ini beliau tidak mempunyai apa-apa sumbangan selain konsisten menyertai mesyuarat sambil memancing di Langkawi.


Tarikh Mesyuarat Bil. 03

Mesyuarat ditangguhkan pada jam 11.00 malam. Mesyuarat Bil. 03 dijangka akan dilaksanakan pada 10 Disember 2021 (Jumaat, 9 malam). Mesyuarat diadakan selang dua minggu bagi mengelakkan Ikhwan Zulkifli memberi alasan lagi bahawa mesyuarat dilaksanakan secara short-notice.

Laporan disediakan oleh,
Syed Ahmad Fathi bin Syed Mohd Khair.
Setiausaha Program Reunion Batch-13 MATRI Tahun 2022.

  • Share:

You Might Also Like

0 comments