Minit Mesyuarat Bil. 01 Reunion Batch-13 MATRI 2022

By Syed Ahmad Fathi - Saturday, November 20, 2021


Pada hari Jumaat bersamaan 19 November 2021 pada jam 9.00 malam telah berlangsung mesyuarat pertama bagi membincangkan penganjuran Program Reunion bagi Batch-13 MATRI. Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah oleh setiausaha, En Syed Ahmad Fathi. Walaupun terdapat ahli mesyuarat yang lewat masuk, mereka telah diperingatkan untuk membaca surah Al-Fatihah. Item-item yang dibincangkan adalah seperti berikut.

Tempat

AJK Penempatan, Leftenan Ikhwan bin Zulkifli telah memberi taklimat ringkas perihal tempat dan mencadangkan lokasi pantai di Teluk Senangin, Perak dipilih untuk menjadi tempat program. Hal ini kerana sebelum ini pernah dilaksanakan program bersama staff MATRI dan tempat ini dapat menampung jumlah keluarga yang ramai. Tempat spesifik yang dicadangkan adalah Chalet D'Idaman dan Motel Kamelia. Ustaz Rijaluddin bin Abdul Manaf memberitahu mesyuarat bahawa beliau telah pergi ke Teluk Senangin minggu lepas, "pantai cantik" kata beliau. Isu berbangkit:

Ustaz Syafiy Zakaria membangkitkan bahawa tempat tersebut tidak mempunyai pool mandi. AJK menjawab bahawa kita akan mandi di pantai.

Saudara Hilmi Razak membangkitkan tingkat 3 yang tinggi, penat nak naik. AJK bersetuju untuk reserve tingkat bawah untuk beliau.

Tarikh

Saudara Amin Roseli mencadangkan agar dua tarikh diberi agar dapat dibincangkan dan diputuskan. Ustaz Syafiy Zakaria membangkitkan isu jika hanya dua hari satu malam tidak berbaloi. Setiausaha menjawab bahawa kita akan buat selama 3 hari 2 malam, dan meletakkan program utama ditengah-tengah (sabtu malam) agar semua sahabat dapat turut hadir. Hari yang dipilih adalah Jumaat, Sabtu, Ahad.

Tarikh yang dicadangkan:

18,19,20 Februari 2022

25,26,27 Februari 2022

Prof. Abbas Salimi Zaini akan mengeluarkan poll bagi memutuskan tarikh. Poll ini akan dibuka selama 3 hari.

Cadangan Gabungan Dengan Sahibah Batch-13

Saudara Amin Roseli telah mengkritik pengarah program, En. Radhi bin Abdul Rahman kerana program ini tidak mempunyai objektif. Pengarah menjawab objektif utama program adalah untuk mengumpulkan semula sahabat. Kapten Ikhwan bin Zulkifli memberi pendapat agar sahibah tidak disertakan, ini kerana ia menyukarkan AJK untuk merancang program serta membuat projection bilangan peserta. Mesyuarat telah dengan sebulat suara menolak cadangan gabungan dengan sahibah, reunion akan diadakan antara keluarga sahabat Batch-13 MATRI sahaja. Saudara Che Wan dengan berat hati bersetuju dengan keputusan mesyuarat.

Poll

Pengarah Program, Sr. Muhammad Radhi bin Abdul Rahman mengarahkan Prof. Abbas Salimi memasukkan bilangan anak-anak ke dalam poll untuk membuat anggaran bagi aktiviti.

Baju Program

Mesyuarat bersetuju melantik En. Amin Roseli bagi menguruskan design dan juga bentuk baju program. Beliau mencadangkan baju jenis microfibre. Saudara Firdaus Hashim tidak berpuas hati dengan baju t-shirt dan dengan nada tegas meminta agar baju berkolar disediakan untuk beliau. Mendengar kritikan saudara Firdaus, Saudara Amin telah mengugut untuk left group. Pengarah program, Radhi Abdul Rahman telah membuat lawak hambar untuk menenangkan keadaan, situasi berjaya dikawal dengan taktik ini. Mesyuarat bersetuju untuk menyerahkan urusan baju pada Amin Roseli.

Aktiviti

Pengarah program, Radhi, mencadangkan aktiviti brainstorming diadakan untuk merancang aktiviti, mesyuarat Bil. 01 perlu fokus pada kerangka awal sahaja.

Setiausaha, En. Syed Ahmad Fathi mencadangkan aktiviti dibawa ke menyuarat Bil. 02.

Mesyuarat sebulat suara melantik Cikgu Abdullah Affan bin Nashiron untuk merangka aktiviti bagi anak-anak selaku AJK Aktiviti. Manakala pembantu AJK Aktiviti adalah saudara Hamizan bin Abdul Hamid dan Saiful Islam Izraei. Aktiviti perlu dirangka dengan memecahkan anak-anak mengikut tahap umur, juga aktiviti berbeza antara lelaki dan perempuan.

Penasihat Syariah, Ustaz Khalilullah Amin bin Ahmad telah mengutarakan sebuah soalan level PhD, "Apakah fasiliti yang ada disana, apakah program indoor dan outdoor yang sesuai untuk dilakukan?". Walaubagaimanapun soalan beliau ini tidak dapat dijawab kerana AJK Penempatan, Saudara Ikhwan Zulkifli telah keluar dari mesyuarat tanpa izin dan notis. Pengarah Program, En. Radhi cuba menjawab, namun mesyuarat tidak yakin dengan jawapan beliau. Soalan ini akan dimasukkan ke dalam agenda mesyuarat Bil. 02 untuk dijawab AJK Penempatan.

Aktiviti Tukar Hadiah

Ustaz Syafiy Zakaria mencadangkan satu acara tukar hadiah dijalankan. Setiausaha bertanya sama ada hadiah ini hadiah kepada individu atau keluarga? Pengarah telah memutuskan hadiah kepada keluarga, mesyuarat bersetuju. Ustaz Syafiy mencadangkan harga minimum hadiah adalah RM50. Cadangan ini telah ditentang keras oleh Ustaz Rijaluddin bin Dato' Abdul Manaf, beliau membangkitkan bahawa tidak semua orang berkemampuan seperti Pegawai Jabatan Agama, beliau mencadangkan harga minimum RM30. Bagi menenangkan keadaan, Panel Syariah Program, Sohibus Samahah Ustaz Khalilullah Amin bin Ahmad mengatakan bahawa kita letak RM30 sebagai minimum tetapi mana-mana sahabat yang nak beli harga lebih, terpulang, ikut kemampuan dan keikhlasan. Ahli mesyuarat mengangguk bersetuju, keadaan kembali tenang.

Yuran

Saudara Muhammad Syafwan bin Che Mustapha (Che Wan) telah bertanyakan kepada mesyuarat jumlah yuran yang akan dikutip dan bila ia akan mula dikutip? Pengarah mengatakan boleh mula dikutip. Hal ini dibantah Setiausaha yang memberi pecahan yuran. Yuran program akan merangkumi:

1. Penempatan

2. Makanan

3. Aktiviti

Sementara baju program akan dibuka untuk tajaan. Setiausaha mencadangkan yuran ini dibawa ke agenda mesyuarat Bil. 02 kerana masih banyak perkara belum diputuskan.

Pengarah program, Radhi bin Abdul Rahman mencadangkan dibuka tabung untuk membiyai mana-mana sahabat yang mempunyai masalah modal untuk hadir. Mesyuarat bersetuju. Bendahari program, Saudara Syafwan Che Mustapha memaklumkan mesyuarat tabungan Batch masih mempunyai RM1,000 dan mana-mana sahabat yang memerlukan bantuan modal boleh memohon pada beliau. Ustaz Anas Mokhtar (UAM) memaklumkan mesyuarat bahawa beliau akan memohon bantuan.

Saliva Test

Panel Syariah, Ustaz Khalilullah Amin bertanya mesyuarat akan keperluan membuat saliva test sebelum hadir ke program? Setiausaha, Syed Ahmad Fathi bersetuju ia dilakukan terlebih dahulu. En. Firdaus Hashim mencadangkan bekalan test-kit dibekalkan oleh Saudara Mustafa Syawwal bin Ibrahim. Setiausaha menolak cadangan ini kerana ia melibatkan masalah logistik untuk mengepos test-kit ke rumah masing-masing. Saudara Amin Roseli mencadangkan bahawa ia dilakukan secara persendirian dan menambah "ana percaya pada sahabat-sahabat". Mesyuarat bersetuju.

AJK Pendaftaran

Setiausaha program, Syed Ahmad Fathi membangkitkan perlunya ada orang yang menguruskan pendaftaran dan memberi arah apabila peserta mula hadir (first point of contact). Pengarah telah melantik sahabat-sahabat Perak untuk urusan ini. Saudara Umair bin Suhaimi dan Qayyim Izzadin bin Hamdan telah dilantik. Mesyuarat bersetuju.

Lain-lain Perkara

Saudara Afifi bin Zakaria telah membangkitkan keperluan untuk dibuat perlawanan bola padang. Saudara Bashier bin Nasharuddin tidak berapa bersetuju kerana beliau kurang fit, beliau mencadangkan diadakan futsal sahaja.

Saudara Saiful Islam bin Izraei telah membuat kemunculan dan membuka kamera semasa mesyuarat. Beliau memaklumkan bahawa United Kingdom telah kembali ke situasi lockdown. Setiausaha telah memaklumkan pada mesyuarat bahawa beliau yakin dengan kepimpinan YAB Ismail Sabri.

Saudara Firdaus Hashim telah membangkitkan persoalan mengapa sahabat-sahabat doktor tidak hadir mesyuarat. Saudara Afifi bin Zakaria memaklumkan mereka on-call.

Penutup dan Penangguhan

Mesyuarat telah ditutup dengan membaca Tasbih Kifarah dan Surah Al-Baqarah pada jam 11.00 pm. Mesyuarat Bil. 02 akan diadakan pada hari Jumaat (26 November 2021) Jam 9 pm.

Lampiran Gambar Mesyuarat




Laporan disediakan oleh,
Syed Ahmad Fathi bin Syed Mohd Khair
Setiausaha Program Reunion Batch-13 MATRI 2022.

  • Share:

You Might Also Like

1 comments

  1. Alhamdulillah bagusnya sahabat2 tuan , semua muka suci2 seperti tuan

    ReplyDelete