Jejak Kasih Bersama Faris Ghazali

By Syed Ahmad Fathi - Tuesday, November 30, 2021

Gambar terbaharu Faris Ghazali yang dikongsikan di grup chat Batch-13 MATRI.

Pada 22 November 2021, group Whatsapp Batch-13 MATRI telah kembali meriah setelah sekian lama sunyi sepi ibarat tanah perkuburan. Kali terakhir group ini menjadi meriah adalah ketika Izzat Mat Suki merajuk kerana bergaduh dengan seorang rakan Batch-13 MATRI yang lain. Namun situasi meriah kali ini sedikit berbeza kerana ia bukan perihal drama pergaduhan sahabat-sahabat atau adengan rajuk-merajuk. Kemeriahan pada kali ini adalah kerana kemasukan sahabat lama MATRI, Saudara Faris Ghazali ke dalam group.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula sahabat-sahabat lama teman sepermainan. Faris telah dimasukkan ke dalam group oleh Abdullah Luqman bin Osman yang dikenali sebagai ALBO oleh sahibah-sahibah MATRI. ALBO sebelum ini telah memberi tahu pihak media bahawa beliau berjaya menurunkan berat badan sebanyak 25 kilogram. Apabila ditanyakan rahsia kejayaan beliau ini, sambil tersengih manja beliau memberi tahu bahawa beliau sudah berhenti makan nasi dan minum air manis, selain itu beliau turut aktif berbasikal bersama isterinya.

ALBO memberitahu bahawa Faris sekarang tinggal di Banting, Selangor. Sementara itu, Amirul Marzuki, bekas peniaga burger di MATRI telah berkata "Pergh orang key yel lani, welkem Faris". Beliau kemudian bertanya adakah beliau tinggal dan bekerja di Banting? Faris memaklumkan bahawa dia tinggal di Banting tetapi bekerja di Shah Alam.

Selepas itu, Hilmi Razak, CEO bagi Syarikat Pelancongan Syoknya Travel telah meminta gambar terbaru Faris. Barangkali dia sudah lupa akan wajah Faris di tingkatan 1 MATRI. Faris pada mulanya segan tetapi akhirnya mengalah setelah diasak oleh Ustaz Syafiy Zakaria dan ALBO.

"Kalau tak mau segan buh gambaq family, reramai hahaha" kata Ustaz Syafiy yang gelak dengan kata-katanya sendiri, barang kali dia merasakan ianya lawak walhal orang lain tidak pun gelak.

"Belanja selfie pun orait, kot selisih bahu tak kenai, hehe" kata ALBO sambil tertawa manja.

Melihat gambar terbaru Faris, Ustaz Syafiy Zakaria berkata wajah Faris tidak banyak berubah dan beliau masih boleh mengecam Faris tanpa berselisih bahu. Hilmi Razak pula kelihatan murung kerana Faris lebih kurus dari dirinya. Sementara itu, pemotong daging Malaya, Syahmi Roslee bertanya sama ada Faris masih balik menziarahi Kuala Perlis. Beliau memaklumkan beliau jarang-jarang balik kecuali jika mendapat cuti panjang. Beliau turut menambah bahawa beliau masih mengingati sahabat-sahabat walaupun hanya sempat belajar bersama selama 3 tahun sahaja di MATRI.

  • Share:

You Might Also Like

0 comments