Siaran Media: Mempertahankan Kredibiliti Wartawan Kami

By Syed Ahmad Fathi - Tuesday, November 30, 2021


 

SIARAN MEDIA

UNTUK EDARAN SEGERA.

Merujuk kepada tajuk siaran media di atas, pejabat blog Bersama Kita Kongsi mengambil maklum beberapa kritikan netizen berkenaan dengan sebuah artikel yang bertajuk "Temubual Eksklusif Bersama Hariz Hasnan" yang diterbitkan pada 30 November 2021. Siaran media ini bertujuan menjelaskan kritikan dan kontroversi yang tidak berasas yang telah dilemparkan kepada kami.

Pertama sekali pejabat ini ingin menjawab kritikan seorang netizen yang menggunakan nama samaran Firdaus Hashim Al-Langkawi yang mana beliau telah menulis, kami petik:

"Tak tahu la nak jadikan panduan atau tak, status kesahihan tu macam tak leh masuk akal. Macam mereka cerita ja lebih"

Pejabat ini ingin menafikan bahawa artikel tersebut telah direka-reka. Pihak kami telah menjalankan siasatan forensik secara menyeluruh dan mendapati segala isi kandungan artikel tersebut adalah absah dari sudut fakta dan ketepatan makna dan konteksnya. Kami dengan ini berdiri setia dengan kebenaran laporan wartawan tersebut yang telah terbukti melaporkan dengan penuh integriti dan beretika. Artikel tersebut telah melalui proses editorial yang ketat serta telah disemak pruf oleh barisan editor yang berkaliber dan dipercayai.

Seterusnya pejabat ini ingin menjawab kritikan yang dibuat oleh Saudara Hariz Hasnan sendiri terhadap wartawan kami, beliau telah berkata, kami sekali lagi memetik:

"Nampak sangat wartawan tak fokus. Bukan aku duduk dekat Bosnia tu saja sampai sebulan. Banyak negara lain aku pi. Haha."

Pejabat ini ingin menegaskan bahawa barisan wartawan kami telah menjalani ujian kefokusan yang sangat ketat dan rapi sebelum dihantar ke lapangan. Oleh itu kami mendapati komen saudara Hariz ini tidak berasas dan tidak berpijak di bumi yang nyata. Bak kata pepatah "tidak pasti jangan kongsi". Selepas siasatan dilakukan oleh auditor bebas, kami mendapati kesilapan yang dimaksudkan adalah dari Encik Hariz sendiri, beliau telah memaklumkan fakta yang tidak tepat (atau mengelirukan) kepada wartawan semasa proses transkripsi.

Pejabat ini mendukung kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang luhur. Kritikan terhadap integriti dan profesionalisma wartawan kami hendaklah dihentikan dengan serta merta. 

SIARAN MEDIA TAMAT

30 NOVEMBER 2021.

  • Share:

You Might Also Like

0 comments