Minit Mesyuarat Bil. 03 Reunion Batch-13 MATRI

By Syed Ahmad Fathi - Monday, December 20, 2021

 

Ahli jemaah mesyuarat yang semakin berkurangan.

Alhamdulillah, pertama dan selama-lamanya marilah kita memanjatkan puji dan syukur kepada Allah SWT kerana dengan izin dan inayahnya dapat kita bermesyuarat lagi buat kali yang ke-3 bagi merancang program reunion yang bakal diadakan di Teluk Senangin, Perak pada 25 hingga 27 Februari 2022. Mesyuarat Bil. 03 telah diadakan pada tarikh 17 Disember 2021 pada jam 9.30 malam.

Mesyuarat pada mulanya kelihatan hambar dan suram kerana hanya pengarah dan setiausaha sahaja yang hadir. Pengarah program, Muhammad Radhi bin Abdul Rahman telah menangis penuh kesedihan kerana usahanya selama ini bagai tidak dihargai oleh rakan-rakannya. Walaupun mereka selalu mengajak "jom reunion" di Whatsapp, mereka umpama ajak-ajak tahi ayam sahaja. Dek kerana terlalu sedih, Radhi mencadangkan agar program reunion ini dibatalkan sahaja. Namun setiausaha cuba menenangkan pengarah dan mengajak ahli batch untuk turun ke mesyuarat. Saiful Islam Izraei telah masuk sebentar dari sesei discord beliau sebelum melarikan diri.

Ustaz Anas Mokhtar (UAM) juga telah masuk ke dalam mesyuarat tanpa memberi salam, melihat-lihat dan segera beredar, begitulah akhlaknya. Sementara itu, Abbas Salimi memaklumkan bahawa dia sedang membaca Surah Yasin bersama keluarga, dan akan join setelah bacaan selesai. Namun beliau tidak menunaikan kata-kata beliau ini.

Ketika mesyuarat ingin ditangguhkan, Firdaus Hashim telah masuk dan menyelamatkan keadaan. Kesedihan Radhi sebagai pengarah sedikit terubat. Kemudian saudara Afifi bin Zakaria yang sedang on-call di Hospital Salam Shah Alam turut memunculkan diri dan bertanya "mana hat lain ni". Mesyuarat kemudian dimulakan dengan membincangkan perihal baju reunion dan juga perlawanan bola menentang Batch-10 yang dijadualkan pada januari 2022. Update perihal baju reunion boleh dibaca disini

AJK Penginapan, Kapten Ikhwan bin Zulkifli kemudian telah membuat kemunculan pada jam 10 malam. Apabila ditanya adakah ada tempat yang sesuai untuk dilawati keluarga di Teluk Senangin, beliau telah menjawab:

"Yang dekat takde tapi jauh aa"

Jawapan level makrifat-jalan-atas-air beliau ini langsung tidak difahami oleh ahli-ahli mesyuarat. Beliau mencadangkan aktiviti bebas mandi laut pada hari ketiga, tidak perlu lawatan. Apabila ditanya berkenaan dengan kualiti air laut di Teluk Senangin, beliau memaklumkan air masih dalam keadaan baik. Kejadian gatal-gatal selepas mandi air laut hanya berlaku di Teluk Batik kerana adanya pencemaran dari fasiliti jeti arang batu yang berhampiran Teluk Batik. Beliau mengesyorkan bahawa Teluk Senangin masih selamat untuk bermandi dan berjimba. 

Turut dibincangkan implikasi kos dari penempatan dan makanan. Apabila dikira kos makanan per pax ditambah dengan kos penginapan (bagi harga bilik paling rendah), untuk 3 hari dua malam, kos minimum adalah RM332 per pax. Mesyuarat mengambil maklum akan kos ini dan bercadang untuk membuka tabung tajaan bagi meringankan kos sahabat-sahabat yang ingin hadir. Jika ada sahabat yang mempunyai masalah modal, ia boleh dimaklumkan pada pengarah atau setiausaha bagi menampung kos perbelanjaan. Mesyuarat berharap kos tidak menjadi penghalang buat sahabat-sahabat untuk hadir. Update berkenaan menu lengkap program boleh dibaca disini.

Mesyuarat juga telah berbincang berkenaan dengan sebaran borang pendaftaran bagi membolehkan anggaran tepat peserta diperolehi bagi membuat tempahan penginapan dan makanan. Borang yang akan diedarkan dalam masa terdekat ini akan mengutip data seperti hari sahabat dapat hadir, pilihan bilik, jumlah anak, dan juga saiz baju. Tarikh akhir mengisi borang adalah pada 8 Januari 2022.

Selain itu pengarah mencadangkan agar bendahari membuka tabung tajaan, dengan target kutipan sebanyak RM5,000 untuk membantu mengurangkan kos mereka yang kurang mampu. Setiausaha telah mencadangkan pengarah untuk berhubung terus dengan bendahari yang memonteng mesyuarat dan masih mabuk bercinta kerana baharu sahaja berkahwin. Selain tabung, mesyuarat turut berbincang perihal poster program bagi memperingatkan sahabat-sahabat perihal program ini. Dua jenis poster akan diusahakan, poster general dan juga berbentuk countdown.

Apabila diminta memberi kata-kata akhir, pengarah yang masih merajuk telah mengatakan "trust the proscess". Apabila diminta huraian, beliau telah berkata bahawa kita memohon bantuan Allah bagi membantu perancangan kita. Majlis yang tidak dibuka dengan Al-Fatihah kemudiannya telah ditutup dengan tasbih kifarah dan Surah Al-Baqarah.

  • Share:

You Might Also Like

0 comments