Minit Mesyuarat Bil. 03 Reunion Batch-13 MATRI
Ahli jemaah mesyuarat yang semakin berkurangan. |
Alhamdulillah, pertama dan selama-lamanya marilah kita memanjatkan puji dan syukur kepada Allah SWT kerana dengan izin dan inayahnya dapat kita bermesyuarat lagi buat kali yang ke-3 bagi merancang program reunion yang bakal diadakan di Teluk Senangin, Perak pada 25 hingga 27 Februari 2022. Mesyuarat Bil. 03 telah diadakan pada tarikh 17 Disember 2021 pada jam 9.30 malam.
Mesyuarat pada mulanya kelihatan hambar dan suram kerana hanya pengarah dan setiausaha sahaja yang hadir. Pengarah program, Muhammad Radhi bin Abdul Rahman telah menangis penuh kesedihan kerana usahanya selama ini bagai tidak dihargai oleh rakan-rakannya. Walaupun mereka selalu mengajak "jom reunion" di Whatsapp, mereka umpama ajak-ajak tahi ayam sahaja. Dek kerana terlalu sedih, Radhi mencadangkan agar program reunion ini dibatalkan sahaja. Namun setiausaha cuba menenangkan pengarah dan mengajak ahli batch untuk turun ke mesyuarat. Saiful Islam Izraei telah masuk sebentar dari sesei discord beliau sebelum melarikan diri.
Ustaz Anas Mokhtar (UAM) juga telah masuk ke dalam mesyuarat tanpa memberi salam, melihat-lihat dan segera beredar, begitulah akhlaknya. Sementara itu, Abbas Salimi memaklumkan bahawa dia sedang membaca Surah Yasin bersama keluarga, dan akan join setelah bacaan selesai. Namun beliau tidak menunaikan kata-kata beliau ini.
Ketika mesyuarat ingin ditangguhkan, Firdaus Hashim telah masuk dan menyelamatkan keadaan. Kesedihan Radhi sebagai pengarah sedikit terubat. Kemudian saudara Afifi bin Zakaria yang sedang on-call di Hospital Salam Shah Alam turut memunculkan diri dan bertanya "mana hat lain ni". Mesyuarat kemudian dimulakan dengan membincangkan perihal baju reunion dan juga perlawanan bola menentang Batch-10 yang dijadualkan pada januari 2022. Update perihal baju reunion boleh dibaca disini.
AJK Penginapan, Kapten Ikhwan bin Zulkifli kemudian telah membuat kemunculan pada jam 10 malam. Apabila ditanya adakah ada tempat yang sesuai untuk dilawati keluarga di Teluk Senangin, beliau telah menjawab:
"Yang dekat takde tapi jauh aa"
Jawapan level makrifat-jalan-atas-air beliau ini langsung tidak difahami oleh ahli-ahli mesyuarat. Beliau mencadangkan aktiviti bebas mandi laut pada hari ketiga, tidak perlu lawatan. Apabila ditanya berkenaan dengan kualiti air laut di Teluk Senangin, beliau memaklumkan air masih dalam keadaan baik. Kejadian gatal-gatal selepas mandi air laut hanya berlaku di Teluk Batik kerana adanya pencemaran dari fasiliti jeti arang batu yang berhampiran Teluk Batik. Beliau mengesyorkan bahawa Teluk Senangin masih selamat untuk bermandi dan berjimba.
Turut dibincangkan implikasi kos dari penempatan dan makanan. Apabila dikira kos makanan per pax ditambah dengan kos penginapan (bagi harga bilik paling rendah), untuk 3 hari dua malam, kos minimum adalah RM332 per pax. Mesyuarat mengambil maklum akan kos ini dan bercadang untuk membuka tabung tajaan bagi meringankan kos sahabat-sahabat yang ingin hadir. Jika ada sahabat yang mempunyai masalah modal, ia boleh dimaklumkan pada pengarah atau setiausaha bagi menampung kos perbelanjaan. Mesyuarat berharap kos tidak menjadi penghalang buat sahabat-sahabat untuk hadir. Update berkenaan menu lengkap program boleh dibaca disini.
Mesyuarat juga telah berbincang berkenaan dengan sebaran borang pendaftaran bagi membolehkan anggaran tepat peserta diperolehi bagi membuat tempahan penginapan dan makanan. Borang yang akan diedarkan dalam masa terdekat ini akan mengutip data seperti hari sahabat dapat hadir, pilihan bilik, jumlah anak, dan juga saiz baju. Tarikh akhir mengisi borang adalah pada 8 Januari 2022.
Selain itu pengarah mencadangkan agar bendahari membuka tabung tajaan, dengan target kutipan sebanyak RM5,000 untuk membantu mengurangkan kos mereka yang kurang mampu. Setiausaha telah mencadangkan pengarah untuk berhubung terus dengan bendahari yang memonteng mesyuarat dan masih mabuk bercinta kerana baharu sahaja berkahwin. Selain tabung, mesyuarat turut berbincang perihal poster program bagi memperingatkan sahabat-sahabat perihal program ini. Dua jenis poster akan diusahakan, poster general dan juga berbentuk countdown.
Apabila diminta memberi kata-kata akhir, pengarah yang masih merajuk telah mengatakan "trust the proscess". Apabila diminta huraian, beliau telah berkata bahawa kita memohon bantuan Allah bagi membantu perancangan kita. Majlis yang tidak dibuka dengan Al-Fatihah kemudiannya telah ditutup dengan tasbih kifarah dan Surah Al-Baqarah.
AJK Penginapan dan Makanan, Leftenan Muda Ikhwan Zulkifli telah membentangkan dengan terperinci berkenaan dengan menu dan harga cateering bagi program reunion yang dijadualkan dibuat di Teluk Senangin, Perak pada bulan Februari ini. Untuk makluman beliau sudah pun membayar deposit kepada pihak katering pada 19 Disember 2021. Berikut adalah senarai menu beserta dengan harga untuk maklumat semua.
Hari Pertama (25 Februari 2022)
- Makan malam
Hari Kedua (26 Februari 2022)
- Minum pagi
Bihun goreng, telur mata, sambal bilis, dan air teh. (RM5 per pax)
- Makan tengahari
Nasi tomato, ayam masak merah, daging masak hitam, dalca, jelatah, papedom, buah oren/tembikai, dan air oren sunquit. (RM10 per pax)
- Makan malam (BBQ)
Nasi goreng cina & peralatan (RM5 per pax)
Hari Ketiga (27 Februari 2022)
- Sarapan pagi
Nasi lemak, ayam rendang, sambal bilis, telur rebus, timun, kacang, kuih karipap, sri muka dan air nescafe. (RM6 per pax)
- Makan Tengahari
Nasi beriani, ayam goreng berempah, kari kambing, acar timun carot, papedom, buah tembikai, dan air sirap (RM12 per pax).
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Harga keseluruhan kos makanan adalah RM46 per pax. Untuk makluman kiraan ini hanya untuk orang dewasa, bagi kanak-kanak dikira percuma.
Warna Baju Yang dipilih untuk Reunion kali ini. |
"Salam Syed, aku tak dapat join malam ni. Tapi ini design baju. Masih dalam proses penambahbaikan. Boleh share time meeting dah mintak input atau komen."
Design baju ini telah dibawa masuk ke dalam mesyuarat bil. 03. Mesyuarat telah bersetuju untuk memilih warna yang lebih gelap hasil komen Dr. Ihsan Zakaria sebelum ini. Warna baju ini turut telah dipersetujui oleh Firdaus Hashim dan Afifi Zakaria. Berikutan proses design masih dalam fasa perancangan, sebarang komen, dan cadangan adalah dialu-alukan. Komen boleh ditinggalkan di ruangan komen posting ini, di dalam group Whatsapp rahsia, atau terus kepada AJK, iaitu saudara Amin Roseli.
Warna baju alternatif yang tidak dipilih. |
Seorang budak lelaki dilihat bergambar dengan lelaki mirip seperti Long Tiger. |
Baru-baru ini tular di media sosial perihal seorang suspek perbicaraan mahkamah yang melarikan diri di Tangkak, Johor. Menurut laporan akhbar Kosmo, lelaki yang digelar sebagai Long Tiger itu berjaya lolos dari lokap Mahkamah Majisteret Tangkak pada 15 Disember 2021. Berikutan dari kejadian ini, warga netizen telah membuat spekulasi dan teori konspirasi bahawa Long Tiger telah melarikan diri ke Perlis. Teori ini tersebar dari sebuah foto yang menggambarkan seorang budak sekolah rendah sedang makan bersama lelaki yang mirip seperti Long Tiger.
Bagi mengesahkan spekulasi ini, pejabat berita kami telah menghubungi budak sekolah rendah tersebut. Hasil penemuan kami budak tersebut sebenarnya merupakan lelaki dewasa yang berumur 31 tahun dan dikenali sebagai Hilmi Azhari, atau lebih dikenali oleh penduduk Perlis sebagai Aloi. Beliau bagaimana pun menafikan individu yang makan dengannya di restoran adalah Long Tiger, sebaliknya individu tersebut adalah Long Radhi.
Long Radhi (kiri) yang mempunyai wajah mirip Long Tiger (kanan). |
"Depa semua ni buat pala tau ja lebih, hat tu bukan Long Tiger, mamat tu kawan sekolah aku dulu Radhi Abdul Rahman" ujar Aloi ketika dihubungi oleh pejabat kami.
Rupa-rupanya acara makan-makan di Perlis itu adalah anjuran seorang lelaki yang dinamakan sebagai ALBO, beliau telah membuat hebahan mengajak orang-orang kampung untuk datang menjamu selera meraikan Cikgu Affan Nashiron yang hadir ke Perlis.
"Sapa ada perlis? Cikgu Affan Nashiron ajak lepak petang ini. Mai sapa-sapa free. Kedai dalam kampung sebelah rumah Pak Id" ujar ALBO mengajak.
Long Radhi yang cuba meniru gaya Ebit Liew bersama Cikgu Affan Nashiron dan ALBO yang telah kurus. |
Namun ajakan ALBO ini tidak ditunaikan oleh imam di masjid tempatan. Imam masjid memberi alasan sakit kepala dan tidak mahu bertemu dengan ALBO.
"Sorry weh tak dapat join, sakit pala plak dah hujan-hujan ni" ujar Imam Syafiy bin Zakaria.
Sementara itu, seorang peminat kelab bola sepak JDT, yang kemudian telah menyokong KL City FC apabila JDT kalah, turut sama memberi alasan kerana tidak mahu melepak.
"Maaf, tak sempat join, baru sampai" ujar Izzat bin Mat Suki.
"Assalamualaikum, sahabat-sahabat kenal dak pengantin laki ni. Katanya ex MATRI atau mengajaq di MATRI?" begitulah persoalan yang dilontarkan oleh Astainbillah bin Mat Akhir ke dalam sebuah grup WhatsApp rahsia Batch-13 MATRI sambil berkongsikan gambar perkahwinan Nazeer Mukhlis, adik kepada Dr. Ihsan bin Zakaria.
Kekeliruan Astain ini telah mendapat gelakan yang sinis dari ALBO. "Haha, adik Ihsan tu, Doktor Nazeer" kata ALBO. Astain kemudian memaklumkan bahawa esok beliau akan ke kenduri tersebut kerana Nazeer berkahwin dengan adik-beradik rapat beliau. Dr. Ihsan yang menyedari isu adiknya berkahwin dibincangkan dalam grup segera menambah komen yang dimulakan dengan sedikit ketawa manja.
"Haha, mai-mai jumpa nanti, aku pi dalam 12.30 nanti" tulis beliau. Beliau yang sebelum ini begitu skema menggunakan ana anta, kini sudah kelihatan sedikit lagha dan membahasakan dirinya sebagai "aku".
"Kecik ja dunia ni" tambah Dr. Ihsan Zakaria lagi.
Bagai menambah garam ke dalam masakan kambing bakar Syahmi Rosle, kenyataan Dr. Ihsan ini telah ditambah oleh seorang penulis prolifik yang juga merupakan petani moden permakultur, Izzat Ibrahim bin Syamjuddin.
"Perlis memang kecik la San" tulis Izzat.
Viral! Gambar Che Wan Kawin Tersebar di Media Sosial
Che Wan masih malu-malu untuk memegang tangan isteri mengambil keputusan untuk memegang tangannya sendiri. |
"Saya terima nikahnya Nurul Zati Amani binti Mahmud dengan mas kahwinnya 37 ringgit tunai". Begitulah dengan sekali lafaz sahaja, Muhammad Syafwan bin Che Mustapha (Che Wan), bendahari Batch-13 MATRI telah mengakhiri zaman bujangnya setelah 31 tahun mencari pasangan hidup. Akad nikah pada 12 Disember 2021 yang diadakan di Kampung Gaal, Pasir Puteh, Kelantan ini disaksikan sendiri oleh Paklong (Umair bin Suhaimi) sebagai wakil Batch-13 MATRI. Berikutan dari majlis ringkas tertutup ini, pelbagai gambar perkahwinan telah tersebar ke seluruh media sosial.
Antara gambar yang mencuit hati netizen adalah gambar Che Wan yang masih malu-malu bersama isterinya. Dalam gambar tersebut, Che Wan telah memegang tangannya sendiri kerana masih malu untuk memegang tangan isteri.
"Perghh Che Wan dah bergelar sang suami...terkejut tak bangun-bangun ada orang kat sebelah?" tanya seorang netizen yang memakai nama samaran Amirul Perlis. Namun soalan beliau yang berbentuk lawak hambar ini tidak dilayan oleh pengantin baru yang sedang mabuk bercinta dengan isteri barunya.
Sementara itu, Cikgu Abdullah Affan bin Nashiron telah berkongsikan tips-tips rumahtangga kepada Che Wan, beliau telah menulis "Tahniah chewan.. selamat melayari bahtera perkahwinan...tak pa.. tak lari gunung dikejar .. hilang kabut tampaklah dia...". Pesanan beliau yang begitu halus ini tidak berjaya ditafsir dan difahami oleh sesiapa pun.
Berikut adalah gambar-gambar perkahwinan Che Wan dan pasangannya, Zati yang telah viral di media sosial.
Seorang warga lepasan Batch-13 MATRI, Syahmi Rosle telah berkongsikan kenangannya di sekolah sambil memotong daging. Beliau telah berkongsikan keterujaannya merewang untuk satu majlis kenduri di Perlis bersama Abdullah Luqman bin Osman (ALBO) dan Ustaz Syaari Awang. Melalui perkongsiannya Syahmi menyatakan bagaimana guru-gurunya di MATRI sangat luar biasa dan mudah mesra bersama pelajar. Berikut adalah sebuah puisi perkongsian beliau di sebuah laman media sosial pada 12 Disember 2021 dari Dewan Makan MATRI.
Gempar! Qayyim Tukar Profile Picture Facebook
Berikut adalah beberapa komen netizen yang terpukau.
"Duta baju bila nak belanja kita makan-makan?" tanya Khairul Atif.
"Cantik baju" puji Fiza Ismail.
"Argh nak jerit nama idola" komen Rasul Nizam, tak tahan.
Selain menjadi model hangat Malaya. Qayyim juga merupakan seorang pekerja dalam bidang Oil & Gas, sebelum ini beliau ada menayangkan baju coverall merahnya yang tertulis nama syarikat "Halliburton" dengan tanda pagar #rezekidariAllah. Menurut rekod, Qayyim merupakan lepasan Batch-13 MATRI yang terkenal dengan kecemerlangan akademik dan kepujian sahsiah semasa di sekolah. Beliau juga merupakan anak murid kesayangan warden, Ustaz Mahadzir.
Kecewa! Lelaki Ini Sedih Futsal Tak Dapat Sambutan
Ahmad Bashier yang kelihatan kecewa kerana Manchester United kalah dan futsal tidak meriah. |
Amin Roseli dan Syed Ahmad Fathi bergambar dengan Ahmad Bashier yang sedang menangis kecewa. |
"Salam. Maaf tak dapat hadir pagi ini. Jadi close contact kes covid pulak. Ikut kan nak pegi je. Dah buat self-test negative"
Alasan Covid-19 ini merupakan alasan biasa yang digunakan untuk menyembunyikan sebab sebenar iaitu kemalasan memuncak di pagi Ahad. Pada mulanya perlawanan bermula sengit, 4 melawan 4. Bashier, Afifi, Abbas, dan Syaza (Yot) membentuk satu pasukan. Sementara pasukan kedua dianggotai oleh Fathi, Amin, Anas Kep, dan Rijal. Walaupun Syed Ahmad Fathi kerap menjaringkan gol dengan jaringan-jaringan yang bernas, kaki bengkok Anas Kep telah menyebabkan pasukannya ketinggalan banyak mata, ini kerana tiada satu pun tendangan Anas yang menepati gol lawan.
Setelah 5 minit bermain, Afifi Zakaria dan Abbas Salimi telah berehat di tepi padang dan mula bermain phone. Abbas Salimi telah memberi alasan bahawa beliau mempunyai masalah tulang kaki dan tidak dapat lagi bermain. Sementara Afifi menggunakan alasan cuaca panas untuk menyembunyikan rasa penatnya bermain. Semasa berehat inilah Abbas dan Afifi telah menggunakan peluang untuk merakam video-video propaganda seolah-olah mereka telah memperoleh kemenangan. Video ini kemudian telah disebarkan untuk mendapat simpati orang ramai. Walhal gol-gol cantik yang dijaringkan oleh Syed Ahmad Fathi tidak dirakamkan.
Gambar post-match di Padang Endfield, Bandar Utama, KL. |
Selfie sebelum pergi bergosip di restoran mamak. |
Kerana Afifi dan Abbas sudah tidak fit lagi untuk bermain, majlis telah diteruskan dengan sesi gossip di Restoran Jasima, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Majlis gossip berjalan lebih meriah berbanding majlis futsal anjuran Bashier. Ustaz Rijaluddin telah mengorder air limau ais gelas besar, sementara Afifi kecewa kerana dari 2 megi goreng yang diorder, hanya satu sahaja yang sampai. Majlis gossip ini telah disempurnakan oleh Anas Norkefli yang telah membelanja semua kawan-kawan berkat hasil keuntungan perniagaan tadikanya yang diusahakan bersama isterinya di Putrajaya.
Untuk menebus kekecewaannya yang hanya mampu bermain selama 5 minit, Ahmad Afifi Zakaria berharap beliau dapat terus berlatih dan menganjurkan perlawanan bola padang menentang Batch-10 MATRI pada bulan Januari.