Sucikan Jiwamu

By ikhwan mahadzir - Tuesday, August 23, 2011

Picture by DeviantArt


Telah banyak yang kita dengar pada hari ini mengenai program-program berbentuk islamik semuanya dalam rangka mengembalikan kehidupan Islam dan budaya kehidupan Islam itu sendiri. Semuanya dalam usaha memeriahkan suasana masyarakat muslim. InsyaAllah amal-amal ini ada ganjarannya di sisi Allah SWT. Allah saja yang mampu membalas amal kebaikan kita yang berupa kebangkitan ummat Muhammad SAW.

Disebalik Amal?

Perlu kita ketahui bahawa kemanisan sesuatu amal itu akan dapat dirasai setelah semua tujuannya dikembalikan pada Rabb dan Ilah iaitu Allah azzawajalla. Setelah niat dan matlamat disandarkan pada Allah, mengikut sistem dan cara yang dianjurkan Allah, serta bermatlamatkan redha Allah, InsyaAllah kita akan peroleh keberkahan dariNya. Kata Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, kemaksiatan itu menghapuskan keberkahan dalam hidup kita. Apabila maksiat berleluasa, maka terputuslah bantuan Allah.

Suatu hari datang seorang pemuda bertemu Imam Hasan al-Bashri kemudian bertanya, wahai imam, aku telah bersolat dengan banyak sekali, namun aku tetap tidak merasai kemanisannya. lalu Imam Hasan al-Bashri menjawab, hal yang demikian kerana kamu menyembah solat. Sembahlah Allah dengan sebenarnya.

Begitu juga di bulan ramadhan yang penuh berkat ini, janganlah kita menjadi hamba ramadhan tapi jadilah hamba Allah semata-mata. Segala amal yang kita lakukan pada bulan ini perlu kita laksanakan juga di bulan yang lain. Malah terus-menerus meningkatkan amal kita. Orang yang berkurang amalnya dilaknat Allah. Orang yang sama sahaja amalnya adalah orang yang rugi. Dan orang yang meningkat amalannya adalah orang yang beruntung.

Bagaimana?

Jadi perlulah kita ingat dalam rangka mengembalikan hubungan yang benar antara amal dan iman, perlu perbaiki niat terlebih dahulu. Perbaiki hati agar penuh ikhlas beramal kerana Allah SWT. Perbaiki jalan amal kita agar senantiasa mengikut jejak Baginda Rasulullah SAW. Dari sini insyaAllah timbullah kesedaran bahawa disebalik perlunya meningkatkan alam, perlu juga dibaiki iman. Kerana kita langsung tidak mengetahui tahap manakah iman kita. Setakat yang mampu diukur hanya dari sudut amal.

Jika kita benar-benar ingin menyucikan diri dengan iman yang suci dan jernih, perlu terlebih dahulu membuang kotorannya. Kotoran yang melekat dihati sebelum ia menjadi karat, ada baiknya kita mula dari sekarang.

Bersihkan iman terhadap Allah Subhanahu WaTaala... Sebagaimana kita ketahui inilah rukun pertama dalam iman supaya segalanya dikembalikan kepada Allah. Sedikit saja terseleweng dari niat yang sebenar, menyebabkan jalan kita makin lama semakin jauh dari Allah. Maka dari situ timbullah penyakit-penyakit hati seperti rasa tidak puas hati dengan pemberianNya, hasad dengki, sangka buruk terhadap Allah, melakukan sesuatu kerana manusia juga menyebabkan terjatuh dalam jurang kesyirikan. Apabila kita lakukan sesuatu amal kerana manusia, maka amal tersebut sekali-kali tidak akan kekal.

Iman terhadap Rasulullah. Para rasul yang diutuskan kepada hamba Allah mempunyai tujuannya yang tersendiri. Supaya mereka menunjukkan kepada kita langkah yang perlu diambil untuk sampai kepada Allah. Juga menjadi langkah yang paling selamat, bijak, berkesan dan terjamin balasannya disisi Allah. Kerana mereka para rasul dididik secara 'direct' daripada Allah SWT. Bagi yang cuba untuk memikirkan langkah terbaik tanpa mengambil langkah Rasul, perlu kita ingat pada Kalam Allah bahawa Rasulullah itulah contoh suri teladan TERBAIK. Maka apakah ada ketetapan yang lain selain yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul? Jika kita kembalikan hati dan tubuh kita mengikut jalan para Anbiya' InsyaAllah tidak akan rugi.

Iman terhadap malaikat. Malaikat yang diutuskan Allah sebenarnya menjadi pengawas bagi kita dan pelindung. Bagi mereka yang yakin akan kebersamaan para malaikat dengan orang-orang beriman, mereka sekali-kali tidak akan melakukan kejahatan. Kerana kita tahu bahawa malaikat tidak pernah melanggar arahan Allah. Mereka mencatat segala amal kita. Bahkan membuat kita menjadi malu untuk melakukan kejahatan. Sekali maksiat hati umpama lintasan-lintasan hati yang buruk, sehinggalah terbentuknya amal.

Iman kepada Al-Quran. Ya inilah panduan asasi kita yang sebenarnya telah hilang dihati masyarakat. AlQuran ini dijual di rata-rata tempat, malah ada yang membelinya dengan jumlah yang banyak kerana 'designnya' yang cukup menarik. Namun hal yang demikin hanya menjadikannya sebagai hiasan di dinding, almari dan sekitar rumah. Hanya dirujuk ketika menghidap penyakit. Hanya dibaca ketika Ramadhan. Fahamilah bahawa AlQuran itu diturunkan sebagai petunjuk dan rahmat. Maka ambillah ia dalam semua konteks kehidupan. Apabila kita mula meninggalkan apa yang diperintahkan di dalamnya, datanglah kerosakan bagi kita.

Iman kepada Hari Akhirat. Beriman pada alam akhirat membuatkan hati sentiasa merindui kampung halaman kita. Kediaman asal Nabi Adam a.s. Membuatkan kita terus yakin bahawa adanya kehidupan yang paling sempurna berbanding dunia yang hanya kerosakan ini. Juga membuatkan hati bertambah takut apabila memikirkan tentang azab neraka yang disediakan bagi orang-orang yang tidak mahu berusaha sedikitpon membaiki amal dan iman mereka.

Iman kepada Qada' dan Qadar Allah SWT. Inilah antara iman yang penting juga kita fahami bahawa tanpa iman terhadap qada dan qadar akan membuatkan hati sentiasa dalam resah gelisah, lemah, layu, sakit, sedih, dan tidak redha pada hakikat alam dan ketentuan Allah. Bila kita tidak yakin bahawa Allah menetapkan sesuatu yang terbaik bagi kita, menyebabkan kita senantiasa tidak redha padaNya apabila Dia mengambil sedikit dari kita rezekiNya. Bila jatuh sakit sedikit sahaja, kita mula memarahi penyakit kita. Hati menjadi tidak redha. Sedangkan Kalam Allah menjelaskan sebelum mencari redha Allah, perlu terlebih dahulu meredhainya. Segala kekurangan diredhai dan kelebihan disyukuri.

Seorang pemuda berkata "ya Allah redhailah segala amalan ku. Berilah aku redhaMu." Lalu kata-katanya ini didengari oleh Rabiatul Adawiyah. Dia pon berkata pada pemuda itu "bagaimana engkau mengharapkan keredhaanNya sedangkan engkau belum redha terhadapNya"

InsyaAllah semoga dengan sedikit perkongsian ini Allah membuka hati kita untuk menjadi golongan muqarrabin, iaitu golongan yang sentiasa mendekatkan dirinya dengan Allah Subhanahu WaTa'ala.... Amin....

  • Share:

You Might Also Like

1 comments

  1. masya Allah, masih banyak perkara perlu diperbaiki dalam diri kita

    smoga sama2 menjadi hamba rabbani yang jelas imannya kepada Rabbnya.

    ReplyDelete