Izzat Ibrahim Gerak Awal, Pinjam Kereta ke Reunion
Penulis prolifik Malaysia, saudara Izzat Ibrahim bin Syamjudin memaklumkan bahawa beliau gerak lebih awal bersama isteri dan dua anaknya ke program Reunion Gen-13 MATRI di Teluk Senangin, Perak. Bagi melancarkan perjalanan beliau telah meminjam "kereta sedap" adiknya, Muhd Taqiuddin untuk ke Perak. Dalam masa yang sama beliau turut melahirkan rasa kebimbangan kerana "kereta sedap" Proton Pesona ini mungkin menyebabkan beliau terlajak hingga ke Perlis.
Menurut Izzat, beliau merancang untuk menyinggah ke beberapa tempat sebelum menghadiri reunion.
"Singgah-singgah tu jaga SOP" pesan Syed Ahmad Fathi yang merupakan setiausaha program. Beliau telah memberi pesanan yang berhikmah ini kerana situasi penularan wabak Covid varian Omicron kini meningkat dengan mendadak.
Izzat memaklumkan pada hari Jumaat nanti beliau akan melaksanakan ujian kendiri RTK sekali lagi bagi memastikan bahawa beliau sekeluarga bebas dari jangkitan Covid-19.
Berikut adalah teks rasmi dari hantaran asal beliau:
"Jumaat, Sabtu dan Ahad ini ada program reunion sekolah menengah, generasi ke-13 MATRI. Buat di Perak. Disebabkan perjalanan jauh dan untuk menikmati perjalanan, saya mula gerak hari ini. Singgah ke beberapa tempat sebelum sampai ke tempat program. Sewa pinjam kereta Proton Persona adik Muhd Taqiuddin. Cadangan asal nak bawa kereta Proton Saga lama je. Sebab risau jugak naik kereta sedap-sedap ni. Takut tiba-tiba terlajak sampai Perlis pulak nanti. Haha.
Izzat Ibrahim, Road to reunion."
- BKK
Pemergian Ayah: Takziah Buat Chewan Sekeluarga
Seluruh warga Gen-13 MATRI dan juga warga kerja BKK ingin merakamkan ucapan takziah kepada saudara Muhammad Syafwan (Chewan), yang merupakan bendahari alumni Gen-13 MATRI atas pemergian ayahanda yang tercinta Che Mustapha bin Abdullah pada jam 5.40 pagi hari ini di Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Perak. Kami mendoakan agar ruh ayahanda beliau diampunkan Allah dan diterima segala amal soleh beliau seterusnya dimasukkan ke dalam syurga bersama-sama orang beriman. Kami juga mendoakan kesejahteraan dan kekuatan kepada beliau sekeluarga.
Terdahulu beliau telah berkongsi berita pemergian ayah beliau di Whatsapp seperti berikut:
"Assalamualaikum. Ayah saya, Che Mustapha bin Abdullah telah meninggal dunia pada jam 5.40 pagi tadi (24 Feb 2022) di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.
Ya Allah! Ampunilah dan rahmatilah dia, lepaskanlah dia daripada apa-apa yang tidak disukainya dan maafkanlah dia, muliakanlah keadaannya dan luaskan kuburnya. Mandikanlah dia dengan air, salji dan air yang dingin. Bersihkanlah dia daripada segala kesalahan sebagaimana dibersihkan baju yang putih daripada segala kekotoran. Gantikanlah rumahnya yang lebih baiki daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan peliharalah dia daripada fitnah kubur dan azab neraka.
Jika arwah ada berhutang, minta hubungi kami. Doakan arwah, Jazakumullahukhairan."
Dari Allah kita datang, kepada Nya juga kita akan kembali. Sekali lagi, salam takziah kami ucapkan. - BKK