Monday, May 7, 2012

Jika Anda Rabun



Ini adalah kisah dua ekor burung helang yang satunya memiliki mata yang sihat, serta penglihatan yang cukup tajam. Manakala rakannya pula mempunyai penglihatan yang kurang jelas dan sukar baginya untuk mencari makan.


Helang yang pertama tadi dengan mudah keluar untuk mencari makan. Dengan kehebatannya, seekor tikus pun belum pernah terlepas dari serangannya. Ini menyebabkan hidupnya sentiasa bahagia.


Lain pula dengan helang yang rabun ini. Dia jarang sekali dapat melihat tikus dengan jelas. Selalu dia terlepas. Lalu dia mengambil keputusan untuk menangkap apa saja benda kecil yang bergerak. Hal ini menyebabkan nasibnya selalu kurang baik. Ada masa terkena serangga yang merbahaya, dan ada ketika sampah-sampah yang ditiup angin menjadi makanannya. Hidupnya tak seindah si helang pertama tadi.


Namun begitu, datang satu musim dimana tidak ada lagi tikus yang berkeliaran. Menyebabkan helang pertama tadi mula gelisah memikirkan rezekinya. Sehinggalah lama-kelamaan helang itu pun mati kelaparan.


Di sinilah kehebatan helang kedua tadi terserlah. Sekalipun ia jarang menikmati kelazatan seperti rakannya, namun dia masih dapat meneruskan kehidupan kerana dia tidak berapa kisah walaupun sudah tidak ada tikus lagi. Dia sudahpun biasa dengan memakan selain dari tikus. Sehingga kini pengembaraannya masih diteruskan.


Kita mungkin pernah berasa lemah dengan segala kelemahan kita, bila kita sibuk membandingkan kelemahan kita dengan kekuatan orang lain. Sedangkan kelemahan kita itu adakalanya menjadi kekuatan kita, manakala kekuatan orang  lain itu akan menjadi peluru yang bakal menembusi isi kepala mereka sendiri.


Jangan kita memandang kelemahan kita dari satu sudut sahaja, kita adalah insan yang berakal serta berhati mulia, masih luas dunia ini untuk kita teroka, masih luas cabang kehidupan yang perlu kita lalui.


Sekalipun kota penuh dengan papan tanda, manusia masih kekal binasa.
Walaupun hutan penuh dengan bahaya,  manusia terus berjaya meneroka.


Sumber : http://isshokemmei.wordpress.com/

No comments:

Post a Comment