Gempar! Aloi Tak Dapat Ikan di Langkawi

By Syed Ahmad Fathi - Wednesday, December 01, 2021


Pada awal November 2021, negara Malaysia telah digegarkan oleh berita yang begitu penting dalam sejarah dan survival bangsa, berita tersebut adalah perihal seorang pelanggan yang telah dikenakan bayaran sebanyak RM1,196 di sebuah restoran di Langkawi apabila beliau telah memesan seekor Ikan Siakap hidup seberat 7.48 kilogram untuk dimasak 3 rasa. Ternyata selepas makan, Siakap tersebut mempunyai 4 rasa, selepas rasa masam, manis, dan masin, pelanggan tersebut mendapat rasa geram dan memuat naik resit bayaran ke media sosial. Gambar resit tersebut telah menggemparkan negara, berita tersebut lebih gempar dari kekalahan JDT kepada KL City FC.

Seorang penduduk Langkawi, yang hanya mahu dikenali sebagai Firdaus Hashim telah cuba untuk menyelamatkan imej Langkawi dengan berkongsi sebuah berita dari akhbar Kosmo yang bertajuk "Restoran Jual Siakap Lebih RM1,000 Tidak Salah" di dalam sebuah group Whatsapp rahsia. Namun, bak kata pepatah Portugis, bagai mencurah air ke daun ketum, berita tersebut tidak dapat memadam komen-komen kritikan netizen. Langkawi yang sebelum ini mendapat nama jolokan Pulau Legenda kini dikenali sebagai Langkawi Darul Siakap Mahal

Seorang ahli Batch-13 MATRI bernama Hilmi Azhari yang terkesan dengan berita ini telah turun padang sendiri ke Langkawi untuk mencari Ikan Siakap. Beliau berharap dapat menangkap Ikan Siakap dan menjualnya dengan harga yang mahal bagi menampung kos operasi bisnes tanaman cili beliau di Kampung Abi Tok Hashim. Hilmi terkenal di kalangan warga UniMAP dan Kampung Abi Padang Melangit dengan nama samaran "Aloi". Nama ini diberikan kepadanya kerana wajah beliau yang mirip dengan tokoh yang bernama Yap Ah Loy yang mana gambarnya terdapat dalam buku teks sejarah Tingkatan 1. Aloi juga merupakan seorang survivor kepada penyakit Talesemia dan kerap dijemput media tempatan dalam memberi kesedaran pada masyarakat perihal penyakit tersebut. Semasa di sekolah, Aloi telah menubuhkan kelab kajian biologi bernama "Streka Belalang" bersama Ahmad Bashier, Ihsan, Hanif Yahya, dan Ikrimah.

Gambar Aloi semasa Tingkatan 1.

Namun, ibarat kata-kata terkenal oleh Max Zukerberg, malang tidak berbau. Usaha Aloi untuk menangkap Ikan Siakap di Pantai Cenang, Langkawi tidak membuahkan hasil. Kerana begitu sedih beliau telah meluahkan perasaannya di sebuah group Whatsapp rahsia. Pada mulanya, keluhan beliau langsung tidak dipedulikan oleh ahli kariah yang masih sibuk melihat tweet terbaru Tengku Mahkota Negara Selatan yang baru menerima kekalahan. Namun tidak lama selepas itu beliau telah dipujuk oleh Firdaus Hashim.

"Kita tak dak, kawan ayah ada la dok guna bot. Ayah pi mengail tengah laut. Lama dah tak pi tengok. Bot tu parking dekat Pekan Kuah tu ja. La dok area mana tu? Oo, tak jauh dah dari rumah ana. Biasa la pembangunan katanya. Jom mai rumah malam ni, kita makan western depan rumah, kambing grill dia sedap, mash potato buat sendiri terbaik. Kira dekat la tu kalau Langkawi. Ikut la no offense Mat Saleh kata. Rasa-rasa nak mai habaq dulu na bawak mai siakap mengail siap-siap, kita pi bakaq kat pondok atas bukit. Lagi satu, habaq siap-siap, la ni cuaca Langkawi tak menentu orang pun tak turun laut sangat. Ribut sama kat laut tu kadang-kadang" kata Firdaus cuba memujuk.

Walaupun berkali-kali diajak oleh Firdaus, Aloi tetap tidak mahu datang ke rumah beliau. Beliau memberi alasan bahawa beliau datang dengan "kawan". Walaubagaimanapun, pihak kami tidak dapat mengesahkan jantina dan identiti "kawan" beliau tersebut.

Gambar lokasi Aloi memancing di Langkawi yang dikongsikannya di sebuah Group Whatsapp rahsia.

Setelah sekian lama, sahabat-sahabat Batch-13 MATRI lain cuba memujuk Aloi yang menangis kerana sudah tiga hari memancing namun tidak mendapat apa-apa ikan.

"Boleh dak buat trip mengai Batch-13, Aloy la tekong" kata seorang pegawai perubatan dari Shah Alam bernama Afifi Zakaria.

"Buat bom ikan... Hahaha" kata Izzat, seorang bekas pemain Pasukan Bola Baling MATRI yang juga merupakan peminat Erra Fazira satu ketika dahulu. Beliau gelak sendirian atas lawaknya yang hambar.

"Umpan tak power" kata Syed Ahmad Fathi, seorang wartawan yang serius dan berintegriti.

Aloi terus menangis kecewa. Tiada kata-kata dapat mengubat hatinya lagi. Ibarat Bukit Tunjung yang kini kering dan layu, hatinya juga begitu, tidak lagi hijau dan rimbun. Selepas beberapa hari tidak berjaya mendapatkan apa-apa hasil di Langkawi, Aloi mengambil keputusan untuk pulang ke kampungnya di Lorong 6 di Perlis bagi menyiram dan membaja tanaman cilinya. Sama-sama kita doakan agar satu hari nanti, Aloi akan berjaya mendapatkan seekor ikan semasa memancing di Langkawi. Ameen Ya Rabbal Alameen.

  • Share:

You Might Also Like

0 comments