Pasukan Gen-13 MATRI Belasah Adik-Adik Form-1 (4-1) di Stadium Panasonic

By Syed Ahmad Fathi - Sunday, May 22, 2022


Setelah hampir sebulan berlatih dan mengeraskan otot dengan ketupat, lemang, tart nenas, dan rendang daging di Aidilfitri, Pasukan Bolasepak Gen-13 MATRI meneruskan kempen perlawanan mereka menentang Pasukan Gen-17 di Stadium Panasonic Shah Alam pada 21 Mei 2022. Sebelum ini Pasukan Gen-13 pernah berentap dengan Gen-17 di Arena Futsal KSL Setapak dan tewas teruk 7-3. Namun ternyata kali ini mereka berjaya membaca gerakan-gerakan Gen-17 dengan iktibar dari kekalahan untuk bangkit menang bergaya. Semasa di MATRI, Gen-17 merupakan adik-adik Tingkatan 1 ketika ahli-ahli Gen-13 mengambil SPM di Tingkatan 5 (tahun 2007).

Untuk rekod ini merupakan perlawanan ke-4 buat Pasukan Gen-13 MATRI (PG13M). Ia merupakan kemenangan berturut-turut kali ke-2 selepas mereka menewaskan Gen-12 MATRI  di KOPA Arena USM, Pulau Pinang. Manakala 2 perlawanan sebelum itu mereka mengalami kekalahan, iaitu di Padang Sawah Padi Manjung menentang KBHI dan di Kelab Sultan Sulaiman menentang Gen-X. Perancangan mengatur perlawanan pada mulanya suram apabila beberapa pemain telah betray pasukan dengan tidak mahu bermain, agar permainan tidak tempang PG13M telah membeli seorang pemain import, Rafiqin bin Abdul Rahman dari KBHI untuk kempen kali ini. Namun di saat-saat akhir Kapten Najmi Abdul Rahim dan Kapten Syafiy Zakaria turun juga setelah dipujuk setiap hari.

Sepak mula di Stadium Panasonic bermula ganas sejak awal. Walaupun lampu spotlight stadium agak kabur dan kelam, semangat yang ditunjukkan para pemain ternyata berjaya memanaskan padang. PG13M menampilkan penyerang veteran, Radhi Abdul Rahman untuk mengetuai bahagian serangan. Radhi yang sebelum ini bermain di bahagian pertahanan mahu membuktikan bahawa kakinya juga boleh digunakan untuk menjaringkan gol. Gerakan-gerakan berbahaya Radhi yang mirip seperti rentak serangan Khalid Jamlus akhirnya berjaya ditamatkan apabila keeper lawan, Basyar Ridha telah membentes peha Radhi sehingga beliau cedera dan terpaksa diusung ke luar padang oleh pasukan paramedik. Walaupun kuat bersorak, Radhi hanya bermain selama 5 minit sahaja kali ini.

Namun strategi Gen-17 untuk mengeluarkan pemain-pemain utama dengan membentes peha mereka ternyata memakan diri apabila PG13M menggunakan taktik "adik-abang" dengan memasukkan Muhammad Rafiqin mengantikan abangnya Muhammad Radhi. Kapten Gen-17, Muhammad Raif telah berkata "alah, Piqin ni bukan reti score". Tercabar dengan kritikan adik sendiri, Rafiqin telah mengentel bola berseorangan, melepasi pertahanan dan keeper Gen-13 dan menjaringkan gol pertama buat PG13M. Tersentak dengan gol pertama, Gen-17 telah mengubah corak permainan dengan menukar semua pemain dalam strategi yang dikenali sebagai "bawak dua team". Mereka juga kelihatan memasukkan seorang pemain import, Farhan Garcia yang diseludup dari Pasukan Geovengers.

Namun strategi Gen-17 ini ternyata tidak dapat melepasi kubu pertahanan PG13M yang dikawal ketat oleh barisan pertahanan PG13M. Last back kental PG13M, Najmi Abdul Rahim walaupun beberapa kali dilihat membuat hantaran karut, berjaya mengawal garisan offside dengan selamat. Manakala stopper PG13M, Faheem Islahi pantas membuat larian-larian kaki lidi bagi menghentikan serangan lawan. Kubu kanan PG13M juga ditutup rapat oleh atlet Mesir, Naqiuddin Adam yang menggunakan dua buah jantung (satu jantung Malaysia, dan satu jantung Mesir) bagi mengejar semua serangan. Naqiu dilihat aktif bekerjasama dengan Izzat Ibrahim Syamjuddin yang berkongsi darah Bangsa Johor seperti beliau. Kubu kiri PG13M pula dikawal rapi oleh Ahmad Abdul Hadi, walaupun beliau membawa muatan berat, keberadaan isteri dan anak-anak yang menonton membuatkan Ahmad berjaya beraksi cemerlang.

Serangan bertali arus dari PG13M ternyata membuatkan barisan pertahanan Gen-17 kucar-kacir. Dalam satu serangan licik, keeper lawan, Basyar Ridha Mustafa Kamil telah mengalami kecederaan lutut "meletup" dalam satu pertembungan. Pengadil yang menyangka Basyar bermain wayang dengan berbaring di padang telah meneruskan permainan. Situasi ini bijak digunakan oleh midfielder PG13M, Azaruddin Rahim yang menjaringkan gol ke-2. Pasukan Gen-17 telah melakukan protes dan situasi berubah huru-hara, mereka mendakwa PG13M tidak bermain fairplay, namun pengadil tetap dengan keputusannya dan membenarkan gol kedua bagi PG13M. Basyar kemudian telah diusung keluar oleh pasukan paramedik. Beliau berubah posisi dari penjaga gol kepada manager dengan menjerit-jerit di tepi padang.

Permainan diteruskan dan bertambah rancak. Pemain dari Teluk Wan Jah, Hanif Ismail ternyata berjaya memperbaiki mutu permainan. Beliau yang sebelum ini terkenal dengan first touch karut berjaya membantu PG13M untuk menjaringkan dua lagi gol hasil hantaran-hantaran ke depan apabila masuk pada separuh masa ke-3. Hantaran-hantaran dari Ustaz Syafiy Zakaria pula kali ini tidak begitu menjadi dan sering kali mudah dipintas oleh pihak lawan. Pemain tengah yang baru pulih dari hamstring, Syed Ahmad Fathi juga dilihat banyak membantu mengatur barisan tengah pasukan persis Andres Iniesta. Pemain import PG13M, Muhammad Rafiqin telah meledakkan gol ke-3 manakala Azaruddin Rahim telah membuat plessing cantik untuk menghadiahkan gol ke-4 buat PG13M.

Penyerang dari Sungai Nibung, Syauqi Murshid seperti biasa berlari-lari hingga berpeluh tanpa hasil, hal ini mungkin kerana beliau kehilangan punca setelah tidak membelanja kawan-kawan Nasi Kandar Daging Cincang Surr. Bashier Nasharuddin juga meneruskan kemarau tanpa gol beliau dalam perlawanan ini, beliau memberi alasan lutut sakit kerana main bola petang-petang. Penyerang anak kelahiran Pulau Pinang, Muzakkir Ridzuan juga tidak menjaringkan sebarang gol kerana masih kenyang makan sate cicah sambal petai. Pada separuh masa ke-4, PG13M telah menampilkan penyerang sensasi, Muaz Maula untuk membantu barisan serangan. Keeper PG13M, Afifi Zakaria, yang bosan kerana tiada serangan berbahaya dari Gen-17 MATRI juga telah menukar posisi dan bermain sebagai pertahanan. 

Oleh kerana telah mendahului 4-0, PG13M dilihat telah bermain dengan selesa. Prof Abbas Salimi dari UKM, turut menghentikan kerja-kerja penyelidikan beliau dalam bidang artifial intelligence untuk menjadi wing kanan bagi pasukan. Manakala pegawai kerajaan dari Putrajaya, Hanif Hilmi menguasai bahagian tengah. Hanif Hilmi dilihat bermain dengan begitu fancy dengan passing-passing karut yang tidak menjadi. Beliau main dengan begitu rileks persis penjawat awam yang keluar makan jam 10 pagi. Akibatnya hasil kesilapan passing fancy karut Hanif Hilmi, Gen-17 berjaya membuat larian ke depan dan membuat hantaran silang sebelum disambar oleh penyerang import Gen-17, Syafiq. Sepakan Syafiq telah mengalami sedikit deflection dari kaki Ahmad Abdul Hadi dan berjaya melepasi penjaga gol PG13M, Izzat Mat Suki. Seluruh pasukan Gen-17 serta para penyokong telah bersorak gembira kerana mendapat gol saguhati. Izzat Mat Suki, penjaga gol dari Taman Bertam Putra yang sebelum ini mahu membuat rekod cleansheet ternyata tidak berjaya, beliau berjaya beraksi cemerlang pada peringkat awal namun kemudian berubah ceroi, hal ini mungkin kerana beliau sering terpengaruh dengan kekalahan kerap pasukan Chelsea. Tersentak dengan gol ini, PG13M telah memasukkan senjata rahsia iaitu Ustaz Anas Haji Mokhtar (UAM). UAM yang terkenal dengan sembang deras telah menjelajah pelbagai kedai kasut untuk mencari kasut untuk bermain, beliau telah membuang kopiah dan jubah dan turun masuk ke padang. Ternyata penangan kasut baharu berjaya memintas beberapa serangan berbahaya Gen-17. Keputusan kekal 4-1 hingga ke akhir perlawanan.

Pemain berdarah Johor, Izzat Ibrahim, cekang mengawal bola.

Faheem Islahi (Apoy) menggunakan teknik larian kaki lidi mengawal bahagian pertahanan.

Hanif Hilmi sedang membuat hantaran fancy karut.

Pemain Gen-17 menolak Azaruddin Rahim yang sedang menari.

Naqiuddin Adam menggunakan kekuatan dua jantung untuk merembat bola.

Basyar Ridha diusung keluar padang kerana tidak fit.

Abang kawasan, Afifi Zakaria membantai Raif dari belakang.

Lastback Najmi Abdul Rahim dilihat membuat hantaran karut.

Set piece ala-ala Andres iniesta oleh Syed Ahmad Fathi.

Keputusan Penuh 4-1.

Ketika ditemu ramah di akhir perlawanan. Manager Gen-17, Basyar Ridha telah berkata "walaupun kami kalah malam ini, namun kami sebenarnya menang secara aggregat kerana menang futsal 7-3 sebelum ini". Manakala Raif pula ketika ditemui berjanji untuk lebih menghormati abang-abangnya selepas ini dan belajar dari kesilapan. Apa pun keputusannya, pihak Gen-13 MATRI mengucapkan terima kasih kepada pasukan Gen-17 atas sportmanship yang diberikan. Semoga perlawanan ini berjaya meningkatkan ukhuwwah sesama pelajar lepasan MATRI. Bak kata pujangga oleh Ayyub "Alhamdulillah. Semua menang. Tiada pihak yang kalah. Kemenangan milik bersama". Terima kasih juga kepada barisan penyokong yang memeriahkan suasana terutamanya Ustaz Rijaluddin Manaf, Faris Ghazali, Afif Amjaduzzahwi, Syaza Safwan, dan Syahmi Roslee. Gambar penuh perlawanan oleh jurugambar professional boleh dilihat di pautan ini. Dari gambar-gambar ini jelas, gambar Syauqi tidak ada, ini merupakan bukti kukuh yang menunjukkan beliau kurang buat kerja. Perlawanan kali ini juga sedikit suram kerana ketiadaan biro media, Amin Roseli yang outstation ke Terengganu, harapannya beliau akan muncul pada perlawanan seterusnya.

Perlawanan seterusnya dijangka akan berlangsung pada 02 Julai 2022, namun masih dalam peringkat perbincangan. Maklumat lanjut akan diumumkan dalam masa yang terdekat. - BKK

  • Share:

You Might Also Like

0 comments