Alhamdulillah, baru-baru ini, saya berpeluang menghadiri satu seminar berkaitan pendekatan genetik kepada masyarakat umum yang dianjurkan oleh Persatuan Genetik Malaysia. Walaupun saya bukanlah seorang yang berpengalaman dalam bidang ini, namun dengan sedikit pemahaman tentang Bahasa Inggeris dan Sains, dapat juga saya mengikuti setiap bait kata-kata pembentang kertas kerja yang sememangnya berbahasa Inggeris.
Dalam kebanyakan pembentangan, ada satu perbincangan yang cukup menarik perhatian saya. Tentang lembu. Ya, tentang lembu. Menurut si pembentang, pada masa kini terdapat pelbagai spesies lembu yang boleh didapati di Malaysia, seperti Brahman, Kedah Kelantan, dan juga kacukan komersial Australia. Semuanya ada sifat-sifat serta karakter masing-masing.
Apa yang menarik perhatian saya apabila si pembentang mengeluarkan kenyataan,
"Kita terlalu sibuk dengan menghasilkan kacukan-kacukan untuk menghasilkan spesies baru, tetapi kita tidak pernah meningkatkan pengeluaran dan kualiti spesies baka asal. Dan kita perlu sedar bahawa spesies ini semakin hari semakin berkurangan dalam populasi di negara kita. Kita takuti suatu hari nanti, spesies ini, spesies milik Malaysia ini sendiri, akan terus pupus dan hanya tinggal dalam sejarah sahaja".
Saya tersenyum sebentar dengan kenyataan professor tersebut. " Hai, masalah manusia pun jadi masalah lembu" gumam hati kecil saya,bahawa hakikat manusia yang hilang tentang identiti mereka pada ketika ini. Lihat sahaja sekeliling kita, pada golongan remaja khususnya. Kadang-kadang simpati melihat penampilan, sikap dan mentaliti yang dibawa, seperti layang-layang yang putus tali, tidak tahu ke mana arah hidupnya. Tidak merasai bangga dan berpegang teguh pada identiti asal mereka. Terbawa-bawa dengan identiti pihak lain, maka sedikit demi sedikit, identiti Islam itu hilang dikikis arus.