Monday, November 22, 2021

Mengenang Muaz bin Mat Isa

Dari kiri: Amirul Marzuki, Syed Ahmad Fathi, dan Muaz Mat Isa di court D'Futsal, Perlis pada tahun 2007 selepas menamatkan SPM.

Ahh bagaimana hendak bermula. Air mata belum kering lagi mengenangkan pemergian Umar Muhajir bin Ghazali, hari ini Allah panggil pulang seorang lagi sahabat yang kami sayangi, Muaz bin Mat Isa. Terlalu banyak kenangan bersama teman-teman sepermainan dari kecil ini, jadi, menghantar mereka buat kali terakhir, dan redha melepaskan mereka mengetahui tidak lagi dapat berjumpa di dunia bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Ia membawa beban emosi yang begitu berat.

Muaz merupakan sahabat kami di MATRI sejak tingkatan 1 lagi, kami bersama-sama memulakan sekolah di tingkatan 1 MATRI pada tahun 2003. Ayah Muaz, Pakcik Mat Isa (lebih mesra dengan panggilan Pak It) sememangnya rapat dengan kami sejak tingkatan 1 lagi, selalu melawak dan bergurau bersama kami, Pak It juga membantu kami potong rambut semasa di sekolah. Muaz tidak menyambung belajar sehingga tingkatan 5 di MATRI. Selepas tingkatan 3, beliau menyambung sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Sulaiman, Beseri, sebuah sekolah yang berdekatan dengan MATRI. Walaupun begitu, beliau masih seperti pelajar MATRI, selalu mengikuti program-program bersama kami, selalu datang ke asrama untuk berjumpa dan bersembang, juga datang petang-petang untuk bermain bola dan sepak takraw bersama. Kadang-kadang kami memesan makanan dari Muaz, kerana dia mempunyai motor, dan kami di asrama tidak boleh keluar.

Selepas tamat persekolahan, Muaz mendapat tawaran untuk program latihan di Pusat Latihan Teknikal Perodua di Rawang sekitar tahun 2008. Kerana beliau tidak tahu bagaimana untuk ke sana, beliau menghubungiku. Aku katakan padanya, datang sajalah ke Kuala Lumpur, tidur di rumah ku, nanti aku akan hantarkan beliau ke sana. Pada ketika itu aku sebenarnya belum ada lesen memandu. Aku beritahu kepada arwah ayahku, bolehkah dia tolong menghantar aku dan Muaz ke Rawang? Ayah pada ketika itu berkerja dan suruh aku menaiki teksi sahaja. Pada masa ini, arwah ayah sudah mula melepaskanku, semua perkara dia akan suruh aku buat sendiri untuk berdikari, isi borang pun pada ketika itu dia sudah berhenti buat untukku, semua disuruh aku buat sendiri. Cuma bahagian dia sahaja dia akan isi, seperti pekerjaan, gaji, dan tandatangan.

Apabila Muaz sampai ke Kuala Lumpur, aku membawanya bersiar-siar melihat kota. Kami menaiki LRT dan Monorel ke Berjaya Times Square. Selepas itu kami bersama-sama menaiki teksi yang dibawa oleh Pakcik Ambang (kawan ayah) ke Pusat Latihan Teknikal Perodua, Rawang. Itu kali pertama aku menghantar Muaz, menghantarnya untuk belajar latihan membaiki kereta di Rawang. Kami bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal. Selepas itu lama juga aku tidak berjumpa dengan Muaz kerana aku menyambung pengajian di luar negara.

Pada tahun 2014, aku mendapat jemputan pernikahan Muaz. Beliau berkahwin dengan gadis pilihannya Maziah. Majlis pernikahannya berlangsung di Kampung Jelempok, Arau, Perlis. Pada ketika itu aku sudah berkahwin dan mula bekerja. Gembiralah kami menghantar Muaz, kali ini aku menghantarnya ke alam perkahwinan. Aku pada ketika itu berjinak-jinak mengambil gambar menggunakan DSLR. Banyak juga gambar yang aku ambil semasa pernikahan Muaz, lebih 200 gambar yang kemudiannya aku masukkan ke laman Facebook untuk simpanan. Apabila mendengar berita kematian Muaz, gambar di hari pernikahannyalah yang aku pilih untuk dijadikan gambar hebahan, kerana aku merasakan itu gambarnya dengan senyuman paling manis, gambar beliau di hari bahagia. Biarlah gambarnya yang tersenyum bahagia dilihat orang. Gambar aku inilah yang kemudian di ambil oleh media-media tempatan untuk laporan berita mereka.

Bersama Muaz dan Maziah pada majlis akad nikah mereka di Kampung Jelempok, Arau pada bulan Disember 2014.


Pada tahun 2017, aku sudah mula bekerja di Georgetown, Pulau Pinang. Pada ketika itu aku selalu bertemu Muaz semula yang pada ketika itu bekerja di Perodua Service Centre Pulau Pinang di Jalan Patani. Selalunya aku akan menghantar kereta Myvi ku untuk diservis oleh Muaz. Di sana, beliau antara pekerja yang disukai, teringat sebuah cerita perihal seorang pakcik yang selalu servis kereta di sana, dia hanya akan menghantar jika keretanya diservis Muaz, jika Muaz tiada dia akan balik dan datang semula di hari lain. Pada tahun 2017 juga Muaz selalu berkongsi perasaannya kerana ketika itu dia bakal menimang cahaya mata. Mereka pada asalnya mahu menyambut anak di Hospital Kangar, namun kerana beberapa masalah urusan tersebut dilakukan di Hospital Seberang Jaya. 

Beliau memberitahuku "Tak tau nak habaq, kalau plan memang nak bersalin kat Kangaq laaa..dah jadi lagu nie kat mana pun takpa ehhh..Janji dua-dua sihat takpa dah..". Begitulah kasih Muaz kepada isteri dan anaknya. Harapan beliau sebagai seorang suami yang bakal menimang cahaya mata adalah kedua-dua insan kesayangannya selamat dan sihat.

Sekitar tahun 2019, Muaz sudah berhenti bekerja di Perodua dan memulakan perniagaan bengkelnya sendiri di Sungai Ara, Bayan Lepas. Pada awalnya, bengkel beliau dinamakan Medina Workshop sempena nama anaknya, tetapi kemudian kerana urusan pendaftaran syarikat namanya berubah kepada Muaz Autowork Services. Pada ketika itu aku pun sudah berhenti menghantar kereta ke Perodua, aku menghantar kereta pada bengkel Muaz sahaja. Kereta isteriku pun aku hantar pada Muaz. Hingga pernah Muaz datang ke Sungai Petani untuk mengambil kereta. Sehingga mak mertuaku juga kenal Muaz.

Pada 21 November 2021, aku bangun dari tidur dan melihat ada dua miscall dari ALBO. Ah sudah, ini petanda yang mendebarkan, jika ada panggilan di tengah-tengah malam. Aku lantas membuka group Whatsapp Batch. Pagi yang hening itu berubah suram, aku muram, murung, dan sedih membaca apa yang ada di dalamnya. Ada satu mesej yang dihantar dari Muaz di dalam group chat kami.

"Salam saya isteri kepada Muaz bin Mat Isa. Suami saya telah kembali ke rahmatullah, mohon jasa baik semua doakan urusan suami saya dipermudahkan Allah. Terima kasih".

Tersentak, maka luluhlah hati jantungku.

Pagi itu emosiku betul-betul terganggu. Satu per satu sahabat-sahabat lama menalifon. Ada yang bertanyakan berita, ada yang mahu meluahkan perasaan dan berkongsi kesedihan bersama. Juga sahabat-sahabat yang bertanyakan urusan pengkebumian jenazah. Pada ketika itu belum jelas bila jenazah akan siap dikeluarkan dari hospital kerana perlu melalui proses test Covid-19, post-moterm, dan pengecaman mayat. Pada jam 2.30 petang, kami Batch-13 MATRI mengadakan bacaan yasin secara online bagi Arwah Muaz. Aku merancang untuk ke Perlis bersama Syauqi Murshid, Izzat Mat Suki dan Musthoffa Syawwal Ibrahim. Selepas asar, apabila sudah confirm jenazah akan di bawa ke Perlis, kami berempat bergegas ke Perlis menaiki kereta Musthoffa Syawal. Alhamdulillah kami sempat sampai pada waktu isyak, sebelum ketibaan jenazah.

Jenazah disolatkan di musolla MATRI dipimpin oleh Ustaz Rosli Ismail. Pada ketika itu, antara guru-guruku yang hadir semasa solat jenazah adalah Ustaz Abdul Hadi Osman, Cikgu Muhammad Hamid (cikgu geografi kami di MATRI), Ustaz Yazid Noh, dan Ustaz Mahadzir. Jenazah kemudian di bawa ke Perkuburan Kampung Tunjong. Pusara yang sama di mana Arwah Ustaz Dahlan Mohd Zain dan Arwah Cikgu Ummi Halimaton Husin dikebumikan. Malam itu bulan penuh terang menghiasi langit, menerangi aku menghantar Muaz lagi. Kali ini bukan lagi ke Rawang atau ke alam perkahwinan. Kali ini aku menghantar Muaz buat kali terakhir ke kampung abadi.

Antara hajat yang kuat mendesakku adalah aku ingin melihat wajah Muaz buat kali yang terakhir. Kerana PKP dan pelbagai hal lain, lama juga aku tidak berjumpanya bersemuka. Aku asyik bertanya bolehkah aku melihat wajahnya kali terakhir. Mulanya di musolla MATRI, aku bertanya pada Hilmi Azhari (Aloi), dijawabnya "hang akan tengok semula wajahnya di akhirat nanti". Tak berpuas hati, aku mahu melihat wajahnya buat kali terakhir di dunia. Semasa mahu menaiki van jenazah aku bertanya lagi, tetapi masih tidak berjaya. Aku masuk mengikut van jenazah ke tanah perkuburan.

Semasa jenazah menunggu untuk dimasukkan ke dalam liang, aku bertanya lagi. Kali ini pada Ustaz Syafiy Zakaria, dijawabnya "kalau tanya aku, aku okay sahaja". Ah, peluang cerah. Kemudian aku tanya pula pada Ustaz Rosli Ismail yang memimpin. Kerana hajatku terlalu dalam untuk melihat wajah Muaz kali yang terakhir. Kata beliau "kena tanya ahli keluarga, kerana kita tak tahu keadaan mayat". Melewang mataku mencari ahli keluarga, akhirnya aku tanya pada isterinya Maziah, dan dia membenarkan. Ustaz Syafiy membuka tiga lapisan kain kafan, aku merenung wajah Muaz buat kali terakhir. Sayu. Hatiku kini pasti sahabatku telah pergi. 

"Muaz, ini kali terakhir aku hantar hang" bisik hatiku menangis.

Kemudian dipanggil kawan-kawan dan ahli keluarga untuk melihat wajah arwah buat kali terakhir. Pak It datang dan melihat, beliau menangis dan berkata: 

"Pak It tak perlu dah tengok dia, sebab dia selalu balik, selalu tengok dia waktu dia hidup. Itu yang penting. Tengok muka waktu hidup, waktu mati dah tak dapat buat apa dah. Muaz bagus, selalu balik dan bantu ibunya yang sakit. Nasihat Pak It pada semua macam tu lah, selalu balik tengok wajah ayah dan mak waktu hidup, jangan hanya asyik sibuk dengan kerja". 

Pak It melihat arwah Muaz buat kali yang terakhir di Tanah Perkuburan Tunjong, Perlis. Gambar oleh: Joe Hilmee Roslan.


Kami sambung menangis.

Ketika mengambus liang. Ada satu perasaan sedih meresap ke dalam jiwaku. Beginikah perasaan menanam sahabat sendiri. Aku tidak berkesempatan untuk bersama pengebumian arwah Abu Asri Zailani dan Umar Muhajir Ghazali. Maka ini kali pertama aku menanam sahabat Batch-13 MATRI dengan tanganku sendiri. Perasaannya begitu pedih dan sedih. Setiap gempulan lumpur dan tanah yang aku masukkan ke dalam liang menambahkan kesedihan hati. Beginikah perasaannya memberikan lumpur dan tanah kepada seorang sahabat, sedang aku akan membasuh lumpur dan tanah yang melekat di tangan dan badanku.

Setelah selesai pengkebumian. Tazkirah ringkas disampaikan kepada hadirin yang masih hidup oleh Ustaz Sharihan, yang merupakan lepasan Khassah MATRI Batch Ke-3. Ada satu kata-kata yang melekat dan terngiang-ngiang di telingaku. Kata beliau:

"Muaz bukanlah pergi meninggalkan kita, dia tidak meninggalkan kita tetapi dia mendahului kita, kita juga nanti akan mengikutinya".

Pusara Muaz di Perkuburan Kampung Tunjong, Beseri, Perlis.


Selamat tinggal Muaz, tenanglah kau duhai sahabat di kampung abadi.

Dalam kenangan,
Muaz bin Mat Isa
3 Januari 1990 - 20 November 2021.

4 comments:

  1. Terimakasih Ahmad krn kongsi dpt kami kenali almarhum Muaz. Moga dia bersama para soliheen yang dicintai Rabbnya aameen.

    ReplyDelete
  2. Semoga tenang disana abang muaz... Alhamdulillah Ramai yg mendoakan,arwah baik orangnya T_T

    ReplyDelete
  3. Terima kasih fathi atas catatan. Walaupun tak kenal arwah, tapi beri keinsafan kepada yang masih hidup ni

    ReplyDelete
  4. Muaz mmg seorang yang sangat sangat sangat baik..adik ipar yang sentiasa menceriakan suasana,ringan tulang,menghormati org lain, suka belanja family..sepanjang muaz menjadi adik ipar kami tak pernah walau sekali pun dia buat kami terasa dgn kata² atau sikapnya..anaknya medina sangat rapat dan manja dgnnya..muaz sangat bertanggungjawab pada keluarga,isteri,ank, mak ayhnya, mak ayh mertuanya pun dia punya ambil berat tu mcm tu mak ayh dia sendiri. Kami mmg sedia maklum kebaikan muaz..lepas dia dah tak ada seolah² adikbradik sendiri yg meninggal..bukan ipar..baca pula catatan² shbt² nya buat kami sebak sgt²..dia disenangi oleh semua org������ kematian nya menginsafkan kami.. ramainya yg mendoakan beliau..semoga muaz ditempatkan di syurga Firdaus

    ReplyDelete